NORMA baru kehidupan rentetan pandemik Covid-19 yang melanda dunia memaksa semua pihak melakukan perubahan demi kelestarian kehidupan masing-masing.
Malah, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPM), Tan Sri Muhyiddin Yassin, norma hidup yang baru ini juga akan menjadi pemangkin kepada Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang dijangka akan mengubah landskap pasaran buruh di seluruh dunia termasuk, Malaysia.
Justeru, penting bagi masyarakat untuk melihat pekerjaan di masa hadapan dalam aspek kepelbagaian bidang dan kepakaran.
“Pengkhususan dan kepakaran dalam pelbagai bidang sepatutnya dijadikan keutamaan dalam persikataran pekerjaan pasca pandemik Covid-19.
“Justeru, amat penting bagi para pelajar, graduan, remaja malah suri rumah untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang diakibatkan oleh pandemik dan pendigitalan dengan menumpukan terhadap mempelbagaikan kemahiran mereka,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam ucaptama beliau di persidangan maya Minds For Malaysia 2021, hari ini.
Tambah beliau kemahiran, contoh seperti dalam bidang pemprosesan data, kemahiran buatan dan pengkomputeran maya akan dapat mencipta lebih banyak peluang pekerjaan yang mana kebanyakan daripadanya tidak dibatasi oleh sempadan fizikal.
Oleh itu, Muhyiddin menyarankan agar masyarakat terutamanya golongan muda untuk mempersiapkan diri mereka dengan pengetahuan dan kemahiran digital untuk meluaskan lagi peluang ekonomi masing-masing agar mereka lebih bersedia menghadapi tuntutan pasaran pekerjaan ketika ini.
Selain itu mereka juga harus melibatkan diri dalam perniagaan pelbagai disiplin dan berusaha untuk mendapatkan kemahiran digital bagi menghadapi cabaran yang dibawa oleh pandemik ini pada ketika ini dan di masa hadapan.
Muhyiddin juga mengingatkan mereka untuk membina kemahiran insaniah bagi meningkatkan lagi kadar kebolehpasaran dan kebolehkerjaan masing-masing.
“Maka amat penting bagi kita semua untuk sentiasa terus mencari idea dan kaedah baharu serta berinovatif agar pemulihan negara dapat dicapai dengan segera,” kata beliau.
Beliau turut mengingatkan bahawa krisis kesihatan ini merupakan satu petanda agar semua pihak menaik taraf dan memperkasakan teknologi serta infrastruktur untuk memudahcarakan industri pendidikan danperniagaan laindalam era norma baharu.
Pandemik yang melanda ini kata Muhyiddin, diharapkan juga menjadi pemangkin kepada masyarakat untuk melakukan perubahan pada kehidupan masing-masing dan memacu penggunaan penyelesaian digital dalam kehidupan. – Satu Berita
Leave a Reply