KELIBAT Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka dalam sekeping gambar yang tular melalui media sosial menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen.
Lebih-lebih lagi, mereka merupakan empat wakil rakyat yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali baru-baru ini.
Dalam gambar tersebut, dapat dilihat bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan; ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee.
Selain mereka, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka yang juga ADUN Bukit Katil, Adly Zahari turut dilihat dalam gambar yang dirakam di lokasi dan pada masa yang tidak diketahui.
Gambar tersebut tular setelah dikongsi dalam laman Facebook ‘Aku YB ke Kau YB?’ milik Norhizam dengan keterangan yang berbunyi: “Kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengucapkan tahniah kepada 4 wira negeri Melaka yang akan berjuang dalam MISI MENYELAMATKAN MELAKA…”
Walau bagaimanapun, ramai netizen meluahkan kemarahan mereka terhadap empat bekas wakil rakyat terbabit lebih-lebih lagi Norhizam yang sebelum ini merupakan pemimpin DAP Melaka.
Mereka kesal dengan tindakan semberono keempat-empat bekas ADUN berkenaan yang membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Lebih dikesali, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mungkin terpaksa diadakan justeru mencetuskan kebimbangan rakyat tentang risiko penularan jangkitan COVID-19 secara besar-besaran, seperti yang berlaku selepas PRN Sabah.
Sebahagian daripada netizen berazam untuk menamatkan karier politik keempat-empat wakil rakyat terbabit sekiranya mereka bertanding dalam PRN Melaka.
Tidak kurang juga ada yang bertanya tentang motif Anwar bertemu empat bekas ADUN Melaka berkenaan.
Portal Agenda Daily pula membangkitkan persoalan sama ada Anwar beroleh empat murid baharu.
April lalu, dunia politik tanah air digemparkan dengan rakaman perbualan telefon yang tular dipercayai melibatkan pemimpin UMNO dan individu yang suaranya dikatakan mirip Anwar.
Dalam perbualan itu, pemimpin UMNO terbabit menyatakan bahawa Anwar ialah ‘gurunya’.
Tidak diketahui apa kaitan Anwar dengan krisis politik Melaka yang telah meruntuhkan kerajaan negeri pimpinan UMNO.
SEMENTARA ITU bercakap kepada Berita Harian, Idris mengesahkan pernah bertemu Anwar baru-baru ini.
“Itu adalah pertemuan biasa PH, memperkenalkan empat ADUN yang sudah merubah kerajaan. (Kami) minum malam, itu saja.
“Pertemuan itu tidak membincangkan hal mengenai tawaran menyertai PKR, tetapi lebih kepada sesi perkenalan dan berbicara hal ehwal politik semasa,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, pada perjumpaan berkenaan, Anwar menasihatkan semua empat ADUN terbabit kekal bersabar dan menyerahkan segala-galanya kepada pihak mahkamah.
Katanya, Anwar turut menyatakan perjuangan yang dilakukan itu lebih kepada usaha menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran, selain memperjuangkan keadilan sejagat.
“Saya memang pegang kepada prinsip itu, bahkan ketika dalam UMNO dulu pun saya berpegang kepada prinsip kesaksamaan sejagat. Prinsip itu sama, cuma mungkin kaedah metadologi itu lain sikit,” katanya.
Leave a Reply