Armada Rosmah Mansor

”Ini perbuatan zalim, kejam terhadap saya dan keluarga” – Rosmah

DATIN Seri Rosmah Mansor tidak dapat menahan emosi dan  menangis di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika memberi keterangan dan menyifatkan pendakwaan atas pertuduhan rasuah adalah perbuatan zalim dan kejam terhadap dirinya dan keluarga.

Rosmah, 69, yang memakai baju kurung hijau dan selendang sepadan, sebak ketika membacakan pernyataan saksinya pada dua halaman terakhir pada hari kedua prosiding membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau berkata pihak pendakwaan telah menutup kedua-dua belah mata apabila wujud kesalahan dan ketidakaturan dalam proses tender Jepak Holdings Sdn Bhd yang didalangi Menteri Pendidikan ketika itu Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan (KPM) ketika itu, Tan Sri Madinah Mohamed serta Datuk Seri Alias Ahmad juga KSU KPM yang menggantikan Madinah.

Ketiga-tiga mereka adalah saksi pendakwaan (SP) dalam perbicaraan kes itu.

“Biarpun Mahdzir, Madinah, Alias, pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd ketika itu, Saidi Abang Samsuddin (SP17) dan Datuk Rizal Mansor (SP21) sepatutnya diambil tindakan di atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan, namun pihak pendakwaan lebih suka untuk memanggil mereka sebagai saksi di mahkamah sebagai saksi pendakwaan tanpa apa-apa pendakwaan dilakukan ke atas mereka.

“… agar mereka bersama-sama menunding jari kepada saya, iaitu seorang individu yang tidak ada jawatan dalam kerajaan dan tidak ada kuasa melulus apa-apa projek kerajaan sekalipun, demi menutup aib masing-masing yang kini telah tersingkap ke khalayak umum.

“Ini adalah perbuatan (pendakwaan) zalim dan kejam terhadap saya dan keluarga saya. Ini juga adalah suatu malicious and selective prosecution (berniat jahat dan pendakwaan terpilih) terhadap saya,” katanya sambil menangis.

Sejurus selepas itu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan bertanya kepada isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu: “Are you ok?” (Anda okey?)

Rosmah, yang memberi keterangan dari tempat saksi menjawab: “Saya minta maaf Yang Arif, saya telah melalui banyak perkara,”. 

Beliau juga dilihat mengesat air matanya sebelum meneruskan keterangan dan pihak media yang mengikuti prosiding itu menerusi video link turut terdiam seketika melihat situasi berkenaan.

Hakikat yang sebenar, katanya adalah pihak pendakwaan tahu bahawa kesemua pertuduhan ke atasnya adalah tidak berasas ditambah pula dengan kesediaan Rizal yang bersekongkol dengan pendakwaan untuk memberikan keterangan palsu di mahkamah bagi membolehkan pertuduhan ke atasnya ditarik balik dan menjadi saksi penting pihak pendakwaan.

Rosmah juga berkata beliau tidak pernah menerima wang berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi bagi membantu mempercepatkan pemberian projek solar hibrid kepada syarikat berkenaan, kononnya dihantar kepadanya di dua lokasi berbeza di Jalan Langgak Duta dan Seri Perdana.

Katanya, dakwaan Rizal bahawa wang RM6.5 juta itu yang diletakkan dalam empat buah beg, kononnya dihantar secara berasingan ke kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana pada 20 Dis 2016 dan rumahnya di Langgak Duta pada 7 Sept 2017, adalah pembohongan semata-mata.

Mengenai penyerahan RM5 juta di Seri Perdana, Rosmah berkata beliau tidak mempunyai pengetahuan bahawa Saidi kononnya berhasrat memberikan wang itu kepadanya.

“Saya tidak pernah menerima wang RM5 juta yang kononnya diberikan oleh Saidi, melalui Rizal kepada saya di dalam dua beg bagasi di Seri Perdana dan tuduhan Rizal bahawa dua beg bagasi tersebut telah diserahkannya kepada dua butler dan kemudiannya diserahkan kepada saya, adalah tidak benar dan mengaibkan saya,” katanya.

Sementara itu, berhubung penyerahan wang RM1.5 juta di Langgak Duta, Rosmah berkata Saidi semasa memberi keterangan  menyatakan bahawa beliau (Saidi) tidak pernah menunjukkan atau menyerahkan dua beg galas hitam berjalur oren kepadanya dan Saidi juga tidak pernah membuka atau mengira wang dalam dua beg tersebut.

Disoal peguam Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakilinya mengenai keterangan Rizal bahawa beliau nampak Rosmah mengarahkan butlernya membawa dua beg galas itu ke dalam ‘bilik beliau’ dan ‘bilik beliau’ merujuk kepada siapa, Rosmah sempat berseloroh: ” Bilik siapa lagi, bilik saya (Rizal maksudkan).

Rosmah juga berkata pihak pendakwaan telah gagal untuk memanggil butler berkenaan sebagai saksi di mahkamah ini serta gagal untuk menawarkan butler tersebut sebagai saksi kepada pihak pembelaan.

“Ini adalah satu perbuatan penganiayaan dan keji terhadap saya kerana pihak pendakwaan sengaja enggan memanggil butler tersebut kerana mereka tahu hal tersebut tidak pernah berlaku.

“Sekiranya memang benar apa yang dikatakan oleh Rizal yang kononnya saya mengarahkan butler untuk mengangkat dua beg hitam berstripe oren ke bilik saya, sudah pasti pihak pendakwaan akan memanggil butler tersebut sebagai saksi penting mereka di mahkamah semasa kes pendakwaan,” katanya.

Pada 18 Feb lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi melalui Rizal sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok dengan pihak pendakwaan akan menyoal balas Rosmah.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *