PN Melaka

PN Melaka sedia runding dengan UMNO elak 3 penjuru

Oleh RAHIMI MOHAMAD

PERIKATAN Nasional (PN) Melaka menunjukkan keterbukaan mereka untuk bersedia mengadakan rundingan dengan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Pengerusinya, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, PN yang diwakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan berpendapat langkah itu mampu mengelak pertembungan tiga penjuru.

Bagaimanapun, mekanisme rundingan termasuk soal pembahagian kerusi hanya akan dimuktamadkan sekiranya UMNO bersetuju untuk bekerjasama dalam PRN.

“Kita terbuka sekiranya UMNO mahu berunding dengan PN, saya tidak boleh membuat keputusan mewakili UMNO, namun di peringkat PN negeri kita sedia berunding dan bersetuju.

“Bagaimanapun perkara itu bergantung kepada pendirian UMNO (kerana) bukan saya yang tentukan,” katanya dalam sidang akhbar di Melaka.

Perkara itu susulan perkembangan politik Melaka apabila Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran dewan negeri yang mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Sementara itu, Mohd. Rafiq yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka berkata, keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad tergugur secara automatik dalam Bersatu.

Katanya, ia berikutan tindakannya bersama tiga lagi ADUN secara terbuka bersama pembangkang dalam satu sidang akhbar semalam selepas menarik sokongan kepada Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

“Keputusan itu sebagaimana termaktub dalam perlembagaan parti yang memutuskan tindakan Noor Effandi itu bertentangan dengan dasar parti.

“Dalam Perlembagaan parti menetapkan tidak akan menjalin hubungan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan apabila beliau bersama PH, keahlian beliau gugur secara automatik.

“Bukan parti mengambil tindakan memecat beliau, sebaliknya keputusan itu adalah disebabkan oleh tindakan beliau sendiri,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *