PN Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen

PN Melaka kesal, percaturan politik punca kemelut

Oleh RAHIMI MOHAMAD

PERIKATAN Nasional (PN) Melaka mengakui kesal dan kecewa dengan krisis politik yang tercetus di negeri itu ekoran kemelut dan percaturan politik pihak tertentu.

Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, mereka berpendirian segala fokus ketika ini seharusnya diberikan kepada usaha-usaha memulihkan negeri dan negara daripada pandemik Covid-19.

Katanya, proses pemulihan itu tidak sepatutnya terganggu hanya disebabkan tindakan sesetengah pemimpin dan parti politik yang meletakkan kepentingan peribadi serta kuasa melebihi nyawa dan kesejahteraan rakyat.

“Proses pemulihan sedang berjalan setelah usahanya dijalankan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini yang kini mula menampakkan hasil dan tanda-tanda positif.

“PN Melaka sependapat dengan majoriti rakyat Melaka bahawa ketika ini bukanlah masa yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Sidang akhbar berkenaan turut disertai Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamaruddin Sidek dan Pengerusi Gerakan Melaka, Datuk Seri Michael Gan Peng Lam.

Bagaimanapun, ujar Mohd. Rafiq yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, PN Melaka perlu menyertai pilihan raya itu bagi menghormati proses demokrasi.

“Kita menghormati proses demokrasi, perlembagaan negeri dan keputusan dibuat Yang di-Pertua Negeri Melaka dan akan menyertai pilihan raya yang tarikhnya bakal ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” ujarnya.

Justeru, beliau berharap rakyat Melaka dapat memberi peluang dan sokongan kepada parti-parti di bawah PN pada PRN kali ini bagi meneruskan usaha dan langkah pemulihan negeri daripada pandemik Covid-19.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *