Oleh RIZQI ZABIDI
KERAJAAN negeri Kedah akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas melibatkan semua agensi bagi memastikan bekalan air serta elektrik ke Bandar Raya Getah Kedah (KRC) di Padang Terap, mencapai tahap yang mencukupi untuk kegunaan pelabur di situ dalam tempoh setahun akan datang.
Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, langkah itu penting bagi memastikan para pelabur di KRC yang kini berada di tahap pembinaan bagi fasa satu, dapat beroperasi secepat mungkin sekali gus mewujudkan limpahan nikmat terutamanya dari sudut ekonomi bagi negeri itu.
Menurutnya, sebelum ini beliau dimaklumkan tempoh untuk menyiapkan bekalan elektrik mencukupi ke kawasan itu secara kebiasaannya dijangka akan mengambil masa lima tahun.
“Sebelum ini pun kita ada minta agar tempohnya dipercepatkan dan pihak berwajib memaklumkan mereka mungkin boleh singkatkan masanya kepada dua tahun setengah.
“Namun dengan daya usaha yang ada, kita beri tempoh hingga setahun untuk mereka laksanakan semua itu. Insya Allah perkara ini dapat dilaksanakan dengan sebuah jawatankuasa akan diwujudkan bagi tujuan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di pejabatnya, hari ini.
Sabtu lalu Mahdzir ketika berkunjung ke tapak pembinaan KRC menggesa kerajaan negeri supaya menyegerakan pembinaan loji rawatan dan bekalan air di tapak projek tersebut bagi memenuhi keperluan operasi para pelabur.
Selain isu air, Mahdzir turut menggesa kerajaan negeri memberi perhatian terhadap isu bekalan elektrik yang tidak mencukupi selain perkara berkaitan pengambil alihan tanah.
Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, pihaknya sudah mengarahkan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) untuk mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak bagi mengatasi masalah air di situ.
“Saya harap dalam tempoh setahun ini, kita sudah ada loji rawatan air yang khusus buat KRC. Selepas ini dijangka akan ada satu lagi loji akan dibina di Kuala Nerang yang akan menggunakan air dari Sungai Padang Terap, berdekatan situ.
“Insya Allah jika ada lebihan, air itu juga boleh disalurkan untuk kegunaan domestik,” katanya.
Leave a Reply