Zuraida enggan dikaitkan dengan Parti Negara Malaysia

MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin enggan dikaitkan dengan Parti Negara Malaysia (PNM) iaitu sebuah parti politik baharu yang dikatakan akan menjadi platform terbaharunya dalam politik.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang itu enggan mengulas perkara itu sebaliknya memberitahu perkara itu sekadar desas-desus.

“Desas-desus… desas-desus… desas-desus lah…” katanya ringkas dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan dokumen Kenaf Grading Standard di Galeri Kenaf, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Kubang Kerian, Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu sumber memaklumkan sebuah parti politik yang diterajui beliau akan ditubuhkan pada akhir bulan ini yang terbuka menerima menerima keahlian pelbagai kaum.

Penubuhan PNM dikatakan bertitik tolak pada tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tidak menerima sebahagian ahli daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), penyokong Zuraida dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Zuraidah diberi penerangan berkenaan perkembangan industri kenaf termasuk penggunaan teknologi Integrated Building System (IBS) dan pengeluaran produk ‘non woven fiber’ berasaskan kenaf di Ibu Pejabat LTKN, Kubang Kerian, Kota Bharu, hari ini

Media difahamkan, penubuhan parti baharu itu bagi membolehkan penyokong beliau dan penyokong Azmin bergerak dalam sebuah platform selepas tersingkir sebagai ahli PKR.

PNM bagaimanapun, difahamkan akan kekal berada dalam blok Perikatan Nasional (PN) dan menjadi penyokong kerajaan hari ini.

Sumber turut mendakwa, beberapa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak menyokong PKR juga akan akan menyertai parti baharu itu.

Difahamkan, pengenalan dan pelancaran parti baharu itu akan dibuat di ibu negara hujung bulan ini.

Untuk rekod, Zuraida dan Azmin kini merupakan ahli Bersatu selepas disingkirkan daripada PKR.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *