Oleh RIZQI ZABIDI
TIDAK cukup dengan mabuk, seorang lelaki turut berlagak samseng dan cuba melakukan provokasi dengan merakam gambar anggota polis yang mengeluarkan saman terhadapnya kerana memberhentikan lori kontena dipandu di lorong kecemasan, di kilometer 106.4 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Sungai Petani, semalam.
Dalam kejadian pukul 6 petang itu, sepasukan polis Expressway Mobile Patrol Vehicles (EMPV) Zon Utara pada mulanya ternampak lori kontena berkenaan diberhentikan di lorong kecemasan.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, hasil pemeriksaan lanjut pemandu kontena terbabit gagal memberi alasan yang munasabah dengan tindakannya itu.
“Pemandu lori kontena terbabit diberikan penjelasan berhubung kesalahan dilakukannya itu mengenai kesalahan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Namun, pemandu itu secara tiba-tiba merakam gambar anggota terbabit menggunakan telefon bimbit sebelum bertindak agresif dengan cuba merampas kad pengenalannya yang dipegang polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Roze berkata, biarpun sudah diberi amaran supaya tidak mengganggu tugas penjawat awam, suspek masih berdegil dan enggan memberi kerjasama kepada polis yang bertugas,” katanya.
“Berikutan itu, suspek yang berusia 33 tahun ditahan dan dibawa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda. Ujian dijalankan mendapati dia dalam keadaan mabuk dengan kandungan alkohol melebihi had dibenarkan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu dengan alkohol melebihi had ditetapkan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK) kerana menghalang penjawat awam.
Tambahnya, jika didapati bersalah, pemandu mabuk boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun, denda minimum RM10,0 00 atau maksimum RM30,000 dan hilang kelayakan lesen minimum dua tahun bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan seterusnya kata Mohd Roze, pesalah akan berdepan hukuman penjar tidak lebih lima tahun, denda minimum RM20,000 dan maksimum RM50,000 serta hilang kelayakan lesen minimum lima tahun.
Manakala bagi kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan pula, mereka yang disabitkan dengan kesalahan itu boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Leave a Reply