32,000 pekerja ladang asing dibawa masuk pertengahan Oktober

KEMENTERIAN Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) meluluskan 32,000 pekerja ladang dari luar negara yang lengkap vaksinasi Covid-19, akan dibawa masuk ke Malaysia secara berperingkat bermula pertengahan Oktober ini.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata kesemua pekerja itu dibawa masuk ke negara ini untuk menjadi tukang penuai ladang memandangkan kebanyakan rakyat tempatan masih belum bersedia untuk melaksanakan tugasan itu.

Beliau menjelaskan usaha itu juga merupakan sebahagian inisiatifnya dalam prestasi 100 hari pertama perkhidmatannya iaitu untuk meningkatkan pengeksportan komoditi negara ini.

“KPPK akan pastikan pekerja peladang dari luar negara boleh diambil sebagai tukang penuai sebab negara masih memerlukan tenaga asing kerana orang Malaysia masih belum bersedia untuk bekerja di ladang sebagai penuai tetapi bahagian lain okey.

“Namun, apabila negara ini sampai ke satu tahap teknologi dan sebagainya mungkin kita akan menggalakkan orang Malaysia untuk kerja di ladang dengan gaji yang lebih lumayan,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penyerahan Dokumen Kenaf Grading Standard di Ibu Pejabat Lembaga Tembakau dan Kenaf Negara (LTKN), Kubang Kerian, Kota Bharu, hari ini.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata bagaimanapun prosedur operasi standard (SOP) untuk kemasukan pekerja dari luar negara masih diperkemaskan pihak berkaitan seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) antaranya melihat warga negara mana yang dibenarkan memasuki Malaysia atas tujuan ini.

Beliau berkata pemain industri ladang terbesar juga bersedia untuk mengikuti setiap SOP ditetapkan seperti memastikan pekerja asing yang diambil telah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19 serta menyediakan tempat kuarantin yang sesuai dalam usaha mengekang penularan wabak berkenaan.

“Malah, pemain industri ini juga bersedia untuk menanggung kos kemasukan pekerja dari luar negara, sekali gus ia dapat mempercepatkan proses kemasukan pekerja asing,” katanya sambil menambah kemasukan pekerja ini antaranya terdiri daripada warga Indonesia dan Bangladesh.

Dalam pada itu, Zuraida turut optimis bahawa sasarannya untuk mencapai RM180 bilion pengeksportan komoditi melalui prestasi 100 hari perkhidmatannya sebagai Menteri KPPK mampu direalisasikan memandangkan nilai eksport komoditi negara telah mencecah lebih RM160 bilion, ketika ini. – Bernama


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *