dua kilang

Bomba ambil masa 10 jam padam kebakaran dua kilang

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mengambil masa hampir 10 jam untuk memadamkan kebakaran dua buah kilang iaitu kilang memproses lilin dan air mineral di Jalan Masai Lama, Pasir Gudang, malam tadi.

Ketua Zon 1 JBPM Johor, Penguasa Kanan Bomba I Mohd Tilmizi Mustapha berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, menerima panggilan berhubung kebakaran kedua-dua kilang itu pada 9.18 malam.

Beliau berkata, sepasukan anggota termasuk pegawai dari BBP Pasir Gudang, BBP Tebrau dan BBP Johor Jaya bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian didapati berlaku kebakaran dua kilang masing-masing berkeluasan 70×200 kaki terbakar hampir 80 peratus setiap satu. Operasi pemadaman dilakukan di bahagian dalam, kiri dan kanan bangunan, bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke kilang bersebelahan.

“Kita turut melakukan pengepaman bergilir dari jentera Pasir Gudang dengan jentera Tebrau menggunakan sumber air daripada pili bomba berhampiran dan jentera Bandar Baru Kulai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihaknya berjaya mengawal kebakaran pada kira-kira 7 pagi ini dan operasi masih dijalankan bagi memadam sisa api di kedua-dua kilang tersebut.

Bagaimanapun katanya, kebakaran itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dan punca kebakaran serta nilai kerugian masih dalam siasatan. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *