SERAMAI dua peniaga di Butterworth, Pulau Pinang bukan sahaja kempunan untuk mendapatkan keuntungan segera, malah wang simpanan mereka sebanyak RM22,100 pula lesap ditipu sindiket pelaburan tidak wujud.
Kedua-dua mereka yang berusia 36 dan 30 tahun menjadi mangsa sindiket itu dalam dua kejadian berasingan semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian pertama melibatkan seorang wanita yang diperdaya untuk menyertai pelaburan berasaskan emas melalui laman sosial Facebook.
Menurutnya, mangsa yang membuat pelaburan sebanyak RM16,000 teruja untuk menyertai skim terbabit selepas melihat rakan-rakannya mendapat pulangan yang dijanjikan.
“Bagaimanapun mangsa menyedari telah ditipu apabila ejen pelaburan berkenaan bertindak keluar daripada kumpulan aplikas Whatsapp dan gagal dihubungi,” katanya.
Sementara itu menurut Noorzainy, dalam kejadian berasingan pula, seorang lelaki kerugian RM6,100 selepas menyertai skim pelaburan Khalifah Trust yang menjanjikan keuntungan segera dalam tempoh 48 jam.
Katanya, mangsa yang berusia 30 tahun memilih pakej pelaburan bernilai RM500 yang menawarkan pulangan keuntungan sebanyak RM9,000.
“Bagaimanapun, mangsa mula berasa tertipu selepas diminta menjelaskan beberapa bayaran tambahan sebagai syarat untuk mendapatkan pulangan yang dijanjikan sebelum membuat laporan polis,” katanya.
Menurut Noorzainy, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai sebarang iklan pelaburan di dalam media sosial khususnya yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.
“Lakukan semakan lanjut di pautan http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi memastikan akaun bank yang digunakan bagi tujuan pelaburan bebas daripada penipuan,” katanya.
Leave a Reply