Masih ada formula Muafakat Nasional, Perikatan Nasional jadi gabungan mantap

Oleh : NASRUDIN HASSAN

JIKA kita benar mahu melihat tampuk pemerintahan negara kekal menjadi milik dominasi umat Islam tanpa mengenepikan kepentingan kaum, bangsa dan agama lain, maka terasnya ialah penyatuan parti-parti politik umat Islam.

Kita tidak perlu skeptikal mengenainya, sehingga berulang kali mengungkit kisah perselisihan silam dan menimbulkan elemen percanggahan sesama umat Islam.

Sememang suara penyatuan ini muncul kerana umat Islam telah melalui episod perpecahan yang sengit dan parah. Sebagaimana munculnya jarum dan benang menjahit kerana ada dua atau tiga sudut kain yang terpisah.

Menjahit itu adalah untuk mencantumkannya. Sebagaimana penyatuan itu adalah untuk menggabung eratkan umat Islam yang terberai sebelum ini.

Fokus ! Fokus kepada kepentingan dominasi pemerintahan negara mesti berada ditangan parti parti politik umat Islam.

Berlapang dada dan bertolak ansurlah dalam segala hal. Jangan mudah melatah atau terkesan dengan propaganda musuh Islam yang begitu licik dan beracun untuk melemah dan meretak belahkan gabungan parti-parti umat Islam.

Pilihanraya umum semakin hampir. Persiapan sudah tentu sedang rancak diatur susun oleh semua parti parti politik. Malah ada ngo yang beragam tak ubah parti politik bagi menghadapi PRU ke 15 nanti.

Langkah utama kita ialah persefahaman untuk memastikan DAP dan jajaran politiknya tidak kembali menguasai pemerintahan negara.

Jangan pertaruhkan perpaduan umat Islam dan penyatuan parti-parti politik umat Islam sebagai “demanding power” sehingga timbul ugutan atau kata dua untuk menarik diri dari penyatuan.

 Sebaliknya berundinglah dengan tenang dan ikhlas serta meletakkan kepentingan bersama umat Islam sebagai neraca pengimbang bagi mewujudkan suasana “win-win situation” dalam kerjasama dan keputusan yang diambil.

Hindari sikap angkuh, ego dan berasa diri hebat daripada yang lain, kerana pasti ia adalah sifat-sifat negatif dan “boomerang” yang bakal mengembalikan kesan buruk pada penyatuan umat Islam bahkan pada diri sendiri.

Masih ada masa dan cara untuk perkasakan Muafakat Nasional dan pertahankan Perikatan Nasional. Bahkan masih ada formula bagi membolehkan MN dan PN menjadi coalition yang mantap dan sekaligus menjadi halilintar buat DAP dan jajaran politik mereka.

Kita hanya ada satu jalan dan satu cara untuk merosakkan segala kekuatan umat Islam, iaitu bersikap angkuh dan berkepentingan diri. Sedang disana pula kita ada 1001 cara untuk mengukuh jitu penyatuan parti-parti politik umat Islam.

Hanya perlu ikhlas, sabar dan tidak angkuh. Buka ruang perbincangan dan tutup peluang persengketaan. Kerap bertemu dan bermanis wajah. Elakkan dari terpengaruh dengan gossip politik dan desas desus warga net.

  • Nasrudin Hassan adalah Ahli Majlis Syura Ulama Pas dan Yang Dipertuan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *