Oleh MOHD. LAZIM ENDUT
SEORANG warga emas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuan rakannya sendiri, tahun lalu.
Tertuduh berusia 61 tahun yang juga seorang buruh membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan kes, warga emas tersebut didakwa melakukan amang seksual ke atas kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di laman sebuah rumah di Pasir Puteh pada pukul 2 petang, Jun 2020.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fariz Abdul Hamid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Ahmad Fariz tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh merupakan rakan kepada bapa mangsa yang dikhuatiri boleh mengganggu kanak-kanak tersebut.
Namun, mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan di mana tertuduh diminta melaporkan diri di balai polis terdekat pada setiap bulan.
Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menetapkan 20 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan juga menjatuhkan hukuman.
Tertuduh tidak membayar jaminan seperti ditetapkan mahkamah.
Leave a Reply