menteri Anwar laluan muda

Hanya 5 menteri dengar Anwar bahas dalam dewan

HANYA lima menteri dan timbalan menteri dikatakan berada dalam sidang Dewan Rakyat hari ini ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) mendakwa, situasi itu dapat dilihat di blok penyokong kerajaan yang kebanyakannya didapati kosong.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan tentang kehadiran menteri dan timbalan menteri yang lain.

“Selaku Ketua Pembangkang, saya rasa adalah penting dalam aspek transformasi Parlimen. Ini apabila Ketua Pembangkang berucap (dewan kosong). Mengambil kira populasi, negara kita mempunyai Kabinet yang paling besar di dunia dengan 69 menteri dan timbalan menteri.

“Apakah ada kemungkinan untuk kita tetapkan kehadiran mereka untuk mendengar bahas Ketua Pembangkang sebagai salah satu usaha transformasi Parlimen?

“Saya sedih, hanya ada lima menteri dan timbalan menteri yang hadir, mana yang lain?” katanya ketika mencelah perbahasan tersebut.

Kor Ming seterusnya meminta Ketua Whip penyokong kerajaan mengambil langkah sewajarnya agar situasi serupa tidak berulang.

Ketika menyambung semula perbahasannya, Anwar berkata, beliau tidak pernah ketinggalan mendengar ucapan Ketua Pembangkang semasa menjadi Menteri Kewangan dahulu.

“Saya semasa Menteri Kewangan, setiap kali Ketua Pembangkang berucap saya akan hadir di depan dengar sampai habis walaupun ‘sakit telinga’ (hanya) Tuhan yang tahu.

“Waktu itu Ketua Pembangkang adalah Yang Berhormat Lim Kit Siang (PH-Iskandar Puteri), ini etika Parlimen.

“Kita dengar ucapan Perdana Menteri walaupun kita tak bersetuju, kita tidak ganggu kerana dia agak sopan berbanding sebelum-sebelumnya,” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau berpandangan mungkin menteri dan timbalan menteri mengikuti sesi perbahasan dari bilik mereka di Dewan Rakyat.

Walau bagaimanapun, Anwar berkata, ia tidak sama dengan hadir secara fizikal semasa perbahasan berlangsung.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *