Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
ENAM sekeluarga melecur di beberapa bahagian badan ketika menyelamatkan diri selepas rumah mereka terbakar di Jalan Makmur, Pasir Panjang, Sekinchan, Selangor, awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, mangsa yang cedera dikenali sebagai Jamri Manap, 41, Jurina Aziz, 46, Mohd Raziq Azrai Jamri, 19, Norhidayah Jamri, 17, Norain Jamalin Jamri, 12 dan Mohd. Zazil Hidayat Jamri, 8.
“Kejadian pada pukul 3 pagi itu mengakibatkan rumah setingkat itu musnah terbakar 90 peratus, manakala sebuah kereta Proton Wira musnah 60 peratus.
“Susulan itu sepasukan 16 pegawai dan anggota bersama tiga jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan dan BBP Sungai Besar dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Enam mangsa yang tinggal di rumah itu semasa kebakaran berlaku berjaya menyelamatkan diri sebelum pihak bomba tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, mereka yang melecur dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang (HTK) dengan menaiki van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Norazam berkata, api berjaya dikawal pada pukul 3.32 pagi dan kebakaran dipadamkan sepenuhnya pada 4.15 pagi.
Leave a Reply