perkhidmatan penjawat awam RMK-12

Transformasi perkhidmatan awam dalam RMK-12

RMK12

PERKHIDMATAN awam akan ditransformasi dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) melalui pendekatan keseluruhan kerajaan, dengan mengambil kira bahawa kejayaan pelaksanaan inisiatif memerlukan keterlibatan semua peringkat kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini memberikan komitmen bahawa perkhidmatan awam yang menjadi nadi pentadbiran negara, akan terus dimantapkan bagi meningkatkan ketelusan dan kecekapan.

Beliau berkata perkhidmatan awam akan ditransformasi dalam tempoh pelaksanaan RMK-12 iaitu dari 2021 hingga 2025 itu melalui pendekatan keseluruhan kerajaan dengan mengambil kira bahawa kejayaan pelaksanaan inisiatif memerlukan keterlibatan semua peringkat kerajaan.

“Pelaksanaan penyampaian perkhidmatan yang berkesan amat penting bagi memastikan Keluarga Malaysia benar-benar merasai pembangunan yang dilaksanakan,” katanya.

Ismail Sabri berkata struktur dan fungsi kementerian dan agensi akan disusun semula bagi mewujudkan organisasi yang lebih mendatar dan mengurangkan kerenah birokrasi.

Beliau berkata mekanisme pemilihan dan pengambilan pegawai pengurusan dan profesional dalam pelbagai skim juga akan diperkukuh bagi memperoleh bakat yang terbaik.

Ismail Sabri berkata cadangan untuk memperkenalkan akta perkhidmatan awam akan dikaji bagi membolehkan pelaksanaan pengasingan kuasa dan tanggungjawab yang jelas antara anggota pentadbiran dengan penjawat awam.

Beliau berkata pendigitalan perkhidmatan awam akan terus ditingkatkan, dan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021-2025 telah dilancarkan yang menggariskan hala tuju strategik pelaksanaan pendigitalan sektor awam bagi memacu agenda Kerajaan Digital yang mampan.

Menurutnya kerajaan menyasarkan perkhidmatan dalam talian peringkat awal ke akhir (end-to-end) meningkat kepada 80 peratus pada 2025.

Ismail Sabri dalam pada itu berkata rangka dasar tadbir urus data nasional akan dibangunkan untuk menggalakkan perkongsian data antara sektor awam dan swasta yang lebih meluas. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *