Tiga maut kereta langgar tembok rumah

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

BUNYI dentuman kuat mengejutkan penduduk yang sedang tidur selepas sebuah kereta melanggar sebuah tembok sebuah rumah di Jalan Rumbia 3, Taman Daya, Johor Bahru, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 2 pagi itu, sebuah kereta Proton Waja dipercayai terbabas dan hilang kawalan sebelum merempuh tembok rumah berkenaan yang berada di tepi jalan tersebut.

R. Vimalan, 21, M. Sharven, 21 dan seroang lagi lelaki dewasa berusia 20-an yang masih belum dikenali identitinya meninggal dunia.

Tiga maut manakala dua lagi cedera parah selepas kereta dinaiki terbabas dan merempuh tembok sebelum mangs tersepit

Sementara S. Meshen Kumar, 21, dan P. Agilan, 22, cedera parah serta kemalangan itu menyebabkan beberapa mangsa tersepit.

Seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

Komander Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II Ramli A. Hamid berkata, kereta tersebut dipercayai dari arah Taman Daya menuju ke Setia Indah.

“Dua mangsa mengalami kecederaan parah manakala tiga mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang turut berada di lokasi.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta Proton Waja yang sudah remuk pada bahagian depan

“Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan Road Traffic Accident (RTA).

“Mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi menerima rawatan selanjutnya manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, operasi tersebut tamat pada pukul 3.42 pagi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *