PEMBANGUNAN bakat masa hadapan untuk pasaran buruh yang dinamik merupakan antara tumpuan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025.
Menurut dokumen RMK-12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi bagi mencapai objektif itu, dua bidang keutamaan digariskan iaitu menjajarkan semula pasaran buruh untuk pertumbuhan yang inklusif dan mampan, serta membangunkan bakat tersedia masa hadapan.
“Bagi penjajaran semula pasaran buruh untuk pertumbuhan yang inklusif, dua strategi akan dilaksanakan iaitu meningkatkan kesaksamaan pampasan pekerja dan penyertaan tenaga buruh dan memperkukuh sistem yang menyokong pasaran buruh,” katanya.
Menurut dokumen itu bagi pembangunan bakat tersedia masa hadapan pula, ia melibatkan lima strategi iaitu meningkatkan kualiti pendidikan, memperkukuhkan tadbir urus, memanfaatkan teknologi baru muncul, memastikan kesaksamaan outcome pembelajaran dan menangani pertindihan tadbir urus Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Kaedah penilaian pelajar akan dikaji semula dan program TVET dimantapkan manakala kerjasama dengan industri dan pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat akan diperkukuh. Inisiatif untuk memanfaatkan teknologi baru muncul dalam pendidikan akan memperkukuhkan ekosistem pembelajaran digital dan memperkasa TVET melalui pembelajaran digital.
“Pengkalan data TVET akan dibangunkan untuk membolehkan analitis data raya bagi menyokong perancangan dasar, pembangunan dan penyampaian program yang lebih berkesan sekali gus menjadi platform berpusat bagi menyelaras dan mengintegrasi semua data berkaitan laluan TVET, ketersediaan pekerjaan dan kerjaya serta pemadanan pekerjaan,” katanya.
Dalam RMK11, Malaysia kekal mencatatkan guna tenaga kerja penuh serta peningkatan produktiviti buruh dan kebolehpasaran graduan dengan enrolmen di sekolah, institusi pendidikan tinggi dan institusi TVET juga bertambah baik.
Bagaimanapun pada tahun 2020, kadar pengangguran telah meningkat manakala produktiviti buruh pula mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan susulan daripada penguncupan ekonomi dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. – BERNAMA
Leave a Reply