Oleh RIZQI ZABIDI
SEORANG lelaki keluar menunggang basikal untuk beriadah dan pulang pukul 7.10 pagi di rumahnya di Taman Mutiara, Sungai Kob, Kulim.
Sejurus tiba, mangsa yang berusia 52 tahun melakukan senaman ringan meregangkan otot di laman luar rumahnya.
Namun, dia secara tiba-tiba pengsan dan diberikan bantuan pernafasan (CPR) oleh ahli keluarga sebelum mereka menghubungi ambulans.
Bagaimanapun, kakitangan hospital yang tiba mendapati mangsa sudah meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, siasatan mendapati mangsa mempunyai sejarah kencing manis serta darah tinggi dan dia sudah menerima dua dos vaksin sebelum ini.
“Mangsa sebelum ini pernah dijangkiti Covid-19 pada 28 Ogos lalu dan sembuh selepas menjalani kuarantin selama 14 hari,” katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati tiada unsur jenayah berlaku dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Jenazah dihantar ke hospital untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian mangsa.
Leave a Reply