agenda bumiputera

Agenda Bumiputera, Keluarga Malaysia terus diperkasa – PM

RMK12

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan agenda Bumiputera akan terus diperkasa dan tidak akan diabaikan, sebagaimana termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak dan keistimewaan Melayu dan anak negeri, iaitu pribumi Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum lain.

Perkara itu dinyatakan dalam Agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia iaitu fokus keenam dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi mencapai pembangunan sosioekonomi lebih adil, saksama dan inklusif.

“Hasrat kerajaan adalah untuk mencapai pembangunan sosioekonomi yang lebih adil, saksama dan inklusif selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.

“Agenda ini akan diterap dalam pelaksanaan semua dasar bagi memastikan ia menjadi komponen yang diberi keutamaan pada segenap peringkat dan aspek pembangunan,” katanya ketika membentangkan usul mengenai RMK-12 (2021-2025) di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata kerajaan sedar bahawa sebilangan besar Bumiputera masih berpendapatan rendah serta miskin berbanding etnik lain, dengan jurang pendapatan penengah antara Bumiputera dan Cina semakin melebar, iaitu empat kali ganda pada 2019 berbanding 1989.

Menurut Perdana Menteri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan serta sektor swasta akan bersama dalam menjayakan agenda tersebut.

Ismail Sabri berkata akses dan peluang pendidikan serta pembangunan modal insan, termasuk huffaz (huffaz al-Quran) akan diperkukuh bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam aktiviti ekonomi.

Antara inisiatif yang akan dilakukan adalah latihan dalam bidang teknikal dan profesional supaya menjadi pakar dalam pelbagai bidang serta kemahiran untuk kerjaya masa hadapan, seperti penganalisis dan saintis data dan pakar data raya.

Ismail Sabri berkata dalam usaha menyelaras semua inisiatif berkenaan, Bahagian Kemakmuran Bumiputera dengan mandat dan fungsi yang lebih jelas akan diwujudkan semula melalui penugasan semula pegawai di setiap kementerian dan agensi kerajaan.

“Langkah ini adalah bagi menambah baik tadbir urus pelaksanaan agenda Bumiputera. Satu rangka kerja tindakan pembangunan Bumiputera akan diumumkan pada penghujung tahun ini,” katanya sambil menjelaskan rangka kerja itu memperincikan inisiatif utama dalam merealisasikan aspirasi meningkatkan status sosioekonomi Bumiputera. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *