Taman tema dijangka dibuka November ini

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TAMAN tema dijangka dibuka pada November ini selepas negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa.

Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar berkata, pihaknya yakin taman tema boleh dibuka seperti juga di tempat terbuka lain dengan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP)

Bagaimanapun katanya, kebenaran itu perlu mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terlebih dahulu dengan SOP yang ditetapkan.

“Pada pandangan saya, taman-taman tema ini persekitarannya adalah terkawal yang mana perlaksanaannya lebih mudah berbanding di tempat-tempat terbuka seperti pantai dan air terjun.

“Tempat terbuka kini sudah dibolehkan dan saya yakin dengan tambah baik SOP maka taman tema juga sudah boleh dibuka.

“Namun, proses untuk meneruskannya datang daripada MKN dan saya difahamkan kementerian terbabit sedang mengkaji dan tidak lama lagi akan ada keputusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja rasminya di Lost World Of Tambun, Ipoh, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Katanya, pemain industri pelancongan ketika ini sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghidupkan semula sektor pelancongan yang terjejas.

“Persoalannya bila dan bagaimana cara terbaik untuk dilaksanakan setelah dibuka, ia apabila sudah ada 90 peratus warganegara sudah di vaksinasi dan semua pekerja ditaman tema telah divaksinasi. Kaedah, SOP dan sebagainya MKN yang akan tentukan.

“Namun, difahamkan pemain industri telah membuat satu cadangan dan memaklumkan tentang persediaan mereka. Kementerian kita juga telah bersiap sedia untuk mempromosikan produk-produk pelancongan bersama pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *