SEBUAH rumah, beberapa kenderaan mewah dan motosikal berkuasa tinggi bernilai RM1.6 juta disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai berkaitan siasatan curi barang kes melibatkan seorang ketua jabatan bernilai AS$6 juta.
Sinar Harian hari ini melaporkan, penyitaan tersebut melibatkan sebuah rumah, dua buah kereta jenis Mercedes dan Honda Type R dan dua motosikal jenis Ducati.
“Penyitaan dilakukan susulan siasatan terhadap penguasa kanan agensi berkenaan bersama dua lagi pegawai berpangkat penguasa dan ketua penolong penguasa kanan,” kata sumber, semalam.
Dalam pada itu, satu kenyataan akhbar akan dibuat oleh pihak SPRM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat
Khamis lalu, PDRM mengesahkan pihaknya menahan seorang pegawai kanan SPRM pada Selasa, untuk siasatan memiliki dadah berbahaya, senjata api serta peluru.
Pegawai kanan terbabit adalah salah seorang daripada tiga pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan curi barang kes melibatkan seorang ketua jabatan bernilai AS$6 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, dua kertas siasatan telah dibuka berhubung tangkapan itu.
Sebelum itu, SPRM mengesahkan telah menahan tiga pegawainya dan telah direman enam hari bremula Selasa sehingga Ahad ini.
Leave a Reply