PASTI ramai rakyat Malaysia yang gembira apabila kerajaan menjangka kebenaran rentas negeri dapat diberi dalam masa tiga minggu lagi.
Berita gembira itu dijangka akan diumumkan susulan langkah-langkah yang diambil bagi mempercepatkan vaksinasi populasi dewasa di negara ini.
Memetik laporan BH, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan orang ramai menerima vaksin lengkap dalam masa terdekat.
Menurut beliau, arahan itu bertujuan memastikan sasaran vaksinasi 90 peratus populasi dewasa dapat dicapai dalam masa terdekat.

Hishammuddin menambah, antara tindakan segera akan dilaksanakan ATM adalah menggerakkan lebih banyak Pasukan Vaksinasi Perubatan Tempur (CMVT) untuk membantu KKM memvaksin masyarakat di kawasan pedalaman.
Beliau berkata, ATM turut diarahkan memperluaskan program vaksinasi pandu lalu yang dilaksanakan Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi warga ATM kepada orang awam, bagi menyegerakan sasaran.
“Insya-Allah, kebenaran rentas negeri yang ditunggu-tunggu ramai akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Apa perancangan yang kita lakukan bersama KKM itu kita harap dapat dijayakan dalam tiga minggu ini.
“Jadi sebelum ia (rentas negeri diumumkan) banyak perkara yang perlu difikirkan dari segi prosedur operasi standard (SOP) serta tanggungjawab agensi dalam melaksanakan pemantauan.
“SOP rentas negeri kita akan umumkan sebelum pengumuman kebenaran rentas negeri dibuat dan ia akan diperincikan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, minggu depan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6RRD), Kem Ulu Tiram, Johor Bahru, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan membayangkan kebenaran untuk rentas negeri akan dapat diberikan oleh kerajaan dalam beberapa minggu lagi.
Ismail Sabri dilaporkan berkata ini kerana sehingga Rabu lalu (22 September), 81 peratus populasi dewasa dalam negara sudah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 dan dalam beberapa minggu sahaja lagi, ia boleh mencapai kadar 90 peratus untuk mendapatkan kelonggaran rentas negeri itu.
Leave a Reply