Port Dickson Anwar Ibrahim

Anwar tinggalkan Port Dickson, bertanding di Perak?

APAKAH Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berminat lagi mempertahankan kerusi Parlimen Port Dickson dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)?

Persoalan itu timbul ekoran kenyataan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak hari ini yang bersedia menawarkan mana-mana kerusi di Perak untuk ditandingi oleh Anwar.

Seperti yang dilaporkan Sinar Harian, pimpinan PKR Perak telah menyuarakan kesediaan itu kepada Anwar dalam mesyuarat baru-baru ini.

Alasan yang diberikan oleh Farhash adalah untuk memperkukuhkan usaha Pakatan Harapan (PH) menawan semula negeri itu.

Kata Farhash lagi, Anwar memberi maklum balas yang positif terhadap cadangan tersebut namun setakat ini masih belum ada pengesahan daripada Ahli Parlimen Port Dickson itu sendiri.

Sekiranya Anwar ingin meninggalkan Port Dickson, tindakan paling logik yang mungkin diambil oleh beliau adalah bertanding di Permatang Pauh.

Kubu kuat PKR yang dikuasai oleh Anwar anak-beranak itu sememangnya sukar ditembusi oleh pihak lawan.

Jadi, mengapa Anwar tidak memilih untuk bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh yang kini disandang oleh anaknya, Nurul Izzah?

Jika Nurul Izzah memberi laluan kepada papanya untuk bertanding di situ, ke manakah pula beliau akan pergi?

Menggantikan ibunya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di kawasan Parlimen Pandan atau kembali ke Lembah Pantai?

Terlalu banyak ketidaktentuan menyelubungi masa depan politik dinasti Anwar Ibrahim ketika ini, sama seperti kelamnya peluang Pakatan Harapan (PH) untuk terus berkuasa di Negeri Sembilan.

Selepas krisis kepercayaan yang melanda PKR Negeri Sembilan baru-baru ini, peluang PH untuk kembali membentuk kerajaan negeri selepas PRU-15 adalah semakin tertutup.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bukan sahaja ditolak oleh pemimpin-pemimpin partinya sendiri, malah PH turut ditolak oleh rakyat di negeri itu.

Sebagai ahli politik berpengalaman, Anwar pasti dapat melihat apa yang berlaku dan akan membuat pertimbangan sewajarnya dalam menentukan kelangsungan politiknya.

Sekiranya Anwar terus memilih untuk bertanding di Port Dickson dan pada masa yang sama, PH tumbang di Negeri Sembilan, senario itu pasti menjejaskan kredibiliti beliau untuk terus mengetuai PH di peringkat pusat.

Namun, perkara terbaik yang sepatutnya dilakukan oleh Anwar adalah bersara terus dari politik kerana rakyat sudah bosan dengan gelagat kemaruk kuasanya yang tidak berkesudahan.

Berilah peluang kepada pemimpin-pemimpin muda seperti Rafizi Ramli dan Fahmi Fadzil untuk memimpin parti. Buktikan bahawa PKR bukan semata-mata berjuang demi menjulang Anwar Ibrahim.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *