HAJATNYA datang ke negara ini ingin mencari rezeki yang halal namun malang menimpa apabila dia dijadikan buruh paksa oleh majikan sejak 18 tahun lalu.
Wanita warga Indonesia itu masuk ke negara ini secara sah dengan permit kerja sebagai pembantu rumah pada Jun 2003 melalui seorang ejen yang dikenalinya.
Selepas mendapat pekerjaan, gaji mangsa telah dipotong sebanyak empat bulan berjumlah RM350 sebulan sebagai kos bayaran kepada ejen tersebut.
Namun, mangsa tidak mempunyai sebarang pengetahuan berhubung perkara tersebut kerana menyerahkan semuanya kepada ejen.
Dia juga mengakui tiada sebarang kontrak perjanjian bertulis dibuat berhubung proses penggajian beliau termasuklah bayaran kepada ejen berkenaan.
Lebih malang, majikan juga mengeksploitasi mangsa dengan ugutan dia bukan pekerja sah dan sering kali memarahi mangsa sekiranya ingin kembali ke negara asal.
Bahkan mangsa pernah dikasari secara fizikal iaitu disepak pada bahagian muka apabila mangsa meminta baki gaji yang tertunggak.
Penderitaan mangsa berakhir selepas diselamatkan dalam operasi yang diketuai oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Ibu Pejabat dan JTK Perak dengan kerjasama pasukan Task Force MAPO dan juga pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Daerah Manjung.
Operasi menyelamat pada pukul 6.50 pagi itu dilancarkan susulan aduan dan maklumat yang diterima daripada pihak Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur pada 20 September lalu.
Terdahulu, risikan yang telah dijalankan pada 20 hingga 21 September lalu mendapati kediaman dan tempat pekerjaan mangsa wujud di satu kawasan terpencil dan jauh daripada kediaman lain di Ayer Tawar, Perak.
Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan media hari ini menjelaskan, siasatan awal jelas menunjukkan mangsa yang telah tamat tempoh sah permit pada Jun 2020 diklasifikasikan sebagai buruh paksa dengan wujudnya beberapa indikator yang digunakan dalam mengenalpasti seseorang pekerja itu adalah buruh paksa atau bukan.
“Indikator tersebut antaranya termasuklah gaji mangsa tidak dibayar untuk tempoh tiga tahun dari 2018 hingga 2021 dan berjumlah lebih kurang RM25,000 (RM700 x 3 tahun),” kata kementerian itu.
Menurut kemenerian itu, kesemua situasi yang dihadapi oleh mangsa merupakan indikator kukuh yang menunjukkan bahawa majikan/suspek telah melakukan satu kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Mangsa yang diselamatkan masih dalam trauma dan ditempatkan di Rumah Perlindungan Zon Tengah di Damansara selepas mangsa diberikan Perintah Perlindungan Sementara oleh Mahkamah Majistret Sri Manjung pada tarikh sama dia diselamatkan.
“Perintah tersebut adalah untuk tempoh 21 hari iaitu sehingga 13 Oktober 2021 bagi melengkapkan satu kertas siasatan di bawah Akta ATIPSOM 2007 yang dikendalikan oleh JTK, dan seterusnya akan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi semakan dan membuat keputusan,” kata kementerian tersebut.
Kementerian Sumber Manusia menambah, operasi menyelamatkan pekerja warga Indonesia tersebut jelas menunjukkan usaha bersepadu secara berterusan oleh agensi-agensi penguatkuasaan termasuk JTKSM.
“Ini jelas menunjukkan bahawa negara tidak akan sesekali berkompromi dalam isu buruh paksa tanpa mengira kewarganegaraan pekerja terbabit,” katanya.
Leave a Reply