keberhasilan kebahagiaan

Sasaran 500,000 peluang pekerjaan bakal dicapai – PM

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hasrat kerajaan untuk mewujudkan sebanyak 500,000 peluang pekerjaan tahun ini bakal dicapai setelah lebih 376,000 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan setakat bulan ini.

Perdana Menteri berkata, Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yang bermesyuarat buat kali ketiga semalam dimaklumkan bahawa, pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan melalui 27 inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan setakat 10 September lalu.

Ismail Sabri yang juga Pengerusi NEC berkata, kejayaan menempatkan pekerja itu adalah melebihi sasaran yang ditetapkan untuk sembilan bulan pertama tahun ini, iaitu 354,276 peluang pekerjaan sehingga 30 September ini.

“Ia menunjukkan hasrat kerajaan untuk mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan untuk tahun ini bakal dicapai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

NEC ditubuhkan Mac lalu semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengatasi masalah pemberhentian kerja dan pengangguran.

NEC merupakan badan tertinggi dalam penetapan dasar, strategi dan pemantauan pelaksanaan inisiatif berkaitan penciptaan pekerjaan.

Ia dianggotai oleh 12 Menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara dan 12 wakil dari sektor swasta dengan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Ismail Sabri selain itu berkata, kerajaan juga berjaya mewujudkan lebih 97,000 pekerjaan baharu melalui pelaburan dalam negara dengan 76 peratus daripadanya merupakan kategori mahir dan separuh mahir.

“Jumlah tersebut adalah sebahagian daripada sasaran 160,000 pekerjaan baharu yang terhasil daripada komitmen pelaburan bagi tahun 2021,” tambahnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *