Oleh RAHIMI MOHAMAD
SERAMAI 67 pendatang asing tanpa izin (PATI) terpaksa berputih mata apabila cubaan mereka untuk lolos masuk ke negara ini secara haram berjaya dipatahkan pihak berkuasa yang dapat menghidu kegiatan itu.
Lebih mengejutkan, dalam kalangan 67 PATI tersebut, seorang bayi perempuan berusia setahun turut dibawa bersama ketika mereka menggunakan jalan laut untuk memasuki Malaysia melalui Jeti Parit Karang, Tangkak.
Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 6 Bakri, Superintenden Rozasin Ramlan berkata, dalam operasi membabitkan Pasukan Polis Marin Muar (PPM), kesemua PATI terbabit ditahan pada pukul 6.30 petang.
“Hasil siasatan awal mendapati kesemua mereka baru mendarat dari negara jiran dan masuk ke Malaysia menggunakan bot tongkang melalui jalan laut yang tidak diwartakan.
“PATI yang ditahan ini terdiri daripada 44 lelaki dan 22 perempuan dewasa serta seorang bayi perempuan. Kesemuanya berumur antara setahun hingga 53 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, seorang lelaki tempatan dipercayai berperanan sebagai tekong darat turut ditahan bersama dengan sebuah kenderaan yang disyaki menjalankan khidmat pengangkutan kepada PATI.
“Selain itu, seorang lelaki dewasa warga asing yang berada dalam kenderaan tersebut dipercayai sebagai penumpang juga ditahan.
“Rampasan melibatkan sebuah bot berukuran 36 kaki bersama-sama sebuah kereta jenis Nissan dan dua buah telefon bimbit,” katanya.
Rozasin berkata, jumlah anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM202,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Mirgan 2007.
“Mereka diuruskan oleh tekong darat dari Tanjung Balai, Indonesia dengan anggaran bayaran RM1,000 hingga RM 2,800 setiap seorang,” katanya.
Kesemua tangkapan dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak untuk tindakan lanjut.
Leave a Reply