Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SATU kajian secara menyeluruh akan dilakukan kerajaan mengenai cadangan untuk menaikkan had pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi kemudahan i-Citra.
Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata, cadangan itu akan diperhalusi dan pertimbangan mengambil kira semua bentuk bantuan yang telah dan akan disalurkan oleh kerajaan, bagi meringankan beban ahli KWSP yang terjejas.
“Pertimbangan ini perlu turut mengambil kira keperluan untuk mengimbangi antara keperluan semasa dan kepentingan simpanan persaraan untuk masa hadapan dengan kadar negara dijangka mengalami penuaan penduduk pada 10 hingga 15 tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Pengeluaran i-Citra diperkenalkan selaras dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun 2021.
Ini sebagai inisiatif jangka masa pendek bagi membantu ahli yang terkesan dengan cabaran ekonomi akibat pandemik Covid-19 serta mengimbangi keperluan hari ini dan masa depan ahli.
Menerusi kemudahan i-Citra, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan.
Leave a Reply