Oleh RAHIMI MOHAMAD
GAJI asas sebanyak RM2,000 seorang selain tawaran komisen sehingga 20 peratus berdasarkan jumlah carian pemain, itu yang dijanjikan sindiket judi dalam talian terhadap warga tempatan untuk bekerja dengan mereka.
Malah, ketika pekerja-pekerja terbabit merisikokan diri menghubungi pelanggan, dalang sebenar pula hanya bergerak di belakang tabir sehingga sukar untuk dikesan pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, maklumat berkenaan dimaklumkan lapan suspek yang ditahan pihaknya berkaitan sindiket judi dalam talian terbabit dalam satu operasi, semalam.
Menurut beliau, empat lelaki dan empat wanita berusia antara 17 hingga 30 tahun yang kesemuanya warga tempatan ditahan menerusi Op Dadu yang dijalankan di sebuah rumah di Bukit Indah, pada pukul 5.30 petang.
“Kegiatan itu beroperasi selama 24 jam setiap hari dan dibahagikan kepada dua syif di mana segala bayaran dibuat melalui transaksi oleh pelanggan menggunakan 12 akaun bank tempatan dengan jumlah kutipan harian kira-kira RM10,000.
“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati sindiket perjudian atas talian itu telah beroperasi di rumah tersebut lebih kurang dua bulan dan mensasarkan pelanggan dari negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Dalam operasi itu, polis merampas pelbagai peralatan berkaitan antaranya lapan komputer, 28 telefon bimbit pelbagai jenama, enam helai kertas tercatit cara-cara bekerja dan promosi perjudian, dua kad akses, dua unit router, dua modem wifi, serangkai kunci dan wang tunai RM570.
“Lapan set komputer yang dirampas telah dirujuk ke pakar judi dan terdapat unsur-unsur pertaruhan perjudian dalam talian yang menggunakan beberapa laman sesawang,” ujarnya.
Tambah beliau, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri untuk tindakan lanjut, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Leave a Reply