Paralimpik: Wei Lun terima RM15,000 daripada Kerajaan Johor

Oleh RAHIMI MOHAMAD

ATLET paralimpik kelahiran Johor, Chew Wei Lun yang menyumbang pingat Perak kepada kontinjen negara dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020 menerima insentif berjumlah RM15,000 selepas cemerlang dalam acara boccia.

Seorang lagi atlet paralimpik, Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin yang menyertai sukan olahraga T20 pula menerima RM5,000 sebagai insentif penyertaan, selain dua jurulatih iaitu Sallehudin Mohd. Noh (para basikal) dan Muhammad Ashaari Zainal Abidin (para tennis) turut menerima RM5,000 setiap seorang.

Wei Lun berkata, dia sudah sedia untuk kembali menyertai temasya Sukan Olimpik Paris 2024 selepas menjadi sensasi sukan baharu tanah air.

Katanya, untuk memastikan kelayakan ke sukan berprestij itu, dia bagaimanapun perlu mengumpul mata mencukupi untuk melayakkan diri.

“Paralimpik (Paris 2024) lama lagi, untuk layak kita perlu pastikan kutipan ‘point’, saya mungkin akan sertainya.

“Soal pingat, itu bukan sasaran utama kerana memang dari awal sertai Paralimpik Tokyo 2020 pun tidak sasarkan pingat sebalik hanya mahu perkenalkan sukan ini kepada lebih ramai orang, tetapi tak sangka boleh dapat pingat,” katanya.

Wei Lun menerima insentif itu yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor, Nor Syazlan Abd Razak.

Sementara itu, insentif turut diberikan kepada atlet Olimpik Tokyo 2020 iaitu atlet berbasikal Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Nur Aisyah Jamil (pelayaran), Kelly Tan Guat Chen (golf) dan Syaqiera Mashayikh (memanah).

Dalam pada itu, Hasni berkata, kerajaan negeri akan memastikan kemudahan infrastruktur sukan akan dipertingkat selari dengan lahirnya tokoh atlet yang melakar nama di peringkat antarabangsa.

“Persatuan sukan memainkan peranan penting dalam membantu atlet bukan sahaja untuk melakar kejayaan, tetapi juga terhadap kebajikan mereka.

“Apabila atlet terlibat sudah tidak lagi dapat bersaing atas pelbagai faktor sama ada usia atau kesihatan, sepatutnya pengalaman dan ilmu yang ada pada mereka dapat dimanfaatkan sekaligus untuk kemajuan sukan berkenaan pada masa hadapan,” ujarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *