UMNO 1946

Ku Li mahu hidupkan UMNO 1946, kembali perjuangan asal

TENGKU Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang) bertekad untuk ‘menghidupkan semula’ UMNO asal yang ditubuhkan pada 1946, selepas ia diharamkan pada 1988 ketika di bawah kepimpinan Presidennya ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli politik veteran yang pernah mengasaskan Parti Semangat 46 itu mendakwa, parti yang kononnya dikenali sebagai UMNO baharu tidak mempunyai visi pensejarahan dan tiada akar umbi di kampung-kampung mahu pun di bandar.

Menurut beliau, UMNO baharu bukanlah suatu pergerakan, jauh sekali sebuah parti politik malah ia hanya merupakan suatu badan yang dibebankan ke atas ahlinya.

“Saya tidak sekali-kali berhenti dan meninggalkan UMNO asal. Saya pernah bertanding jawatan Presiden pada 1987. Maka itu saya berhak mengaku diri saya sebagai wakil keperluan atau agent of necessity untuk UMNO yang ditubuh pada 1946 dan juga wakil terkanannya di Dewan Rakyat.

“Saya ini sebahagian asal daripada parti UMNO di Parlimen dengan tujuan mengembalikan hak undang-undang dan keperlembagaan UMNO dan membuat apa jua yang patut bagi mengembalikan kedudukannya di bidang politik nasional dan di dalam kepentingan nasional,” tegasnya.

Tengku Razaleigh berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau mendakwa, UMNO baharu menjadi parti kepada suatu golongan politik baharu yang menyalahgunakannya untuk memperkaya diri.

Tengku Razaleigh memberitahu, ia mula bersifat seolah-olah seperti perusahaan komersial dan sekali gus merosakkan jiwa keMelayuan.

“Perangai tamak haloba mengatasi segala-galanya. Di samping itu prinsip akhlak hancur berkecai; begitu juga halnya dengan mutu kelakuan mereka yang cuba meraih jawatan awam dan kuasa politik.

“Kehancuran ini amat terasa di bidang dasar ekonomi berkaitan dengan penswastaan ‘harta awam’, iaitu aset nasional untuk faedah rakyat jelata.

“Saya membuat imbasan kepada dasar ekonomi dan faktor kewangan yang menyebabkan kemerosotan UMNO 88 oleh kerana kemerosotan tersebut hanya dapat difahami sekiranya kita arif tentang dasar ekonomi dan faktor kewangan yang saya sebutkan tadi,” jelasnya.

Beliau juga sangat sedih apabila amalan politik berbaur menjadi rasuah politik di mana kuasa politik ditukar ganti dengan sokongan untuk mendapat kedudukan dalam parti.

“Ini dilaksanakan dengan pengwujudan sistem berat sebelah dan ganjaran kewangan berperingkat. Rasuah politik sebagai perbuatan haram dan membahayakan demokrasi berperlembagaan kita masih tidak mendapat pengiktirafan seperti terdapat di negara-negara lain.

“Kita harus menghapuskan musuh dalam selimut ini sekiranya kita benar-benar hendak mempertahankan sumpah berperlembagaan untuk ‘menyimpan, menjaga keselamatan dan mempertahan’ perlembagaan kita,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *