KEJAYAAN negara mencapai 80 peratus populasi dewasa yang lengkap divaksin hari ini membuktikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berada di landasan yang betul, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bekas Perdana Menteri berkata, ia juga menunjukkan kejayaan perancangan pembelian vaksin oleh Malaysia yang merupakan antara negara terawal di Asia memeterai perjanjian dengan beberapa pembekal vaksin pada skala besar.
‘’Hubungan baik Malaysia di peringkat antarabangsa juga memberi manfaat apabila kita menerima sumbangan vaksin melebihi 5 juta dos dari negara Jepun, Arab Saudi, China, Amerika Syarikat dan United Kingdom,’’ katanya dalam kenyataan melalui Facebook.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, bahawa suntikan penggalak (booster) akan diberikan seawal Oktober, terutamanya untuk frontliners yang lebih banyak terdedah kepada risiko virus itu.
‘’Saya juga mengalu-alukan Pakej Penjagaan Covid-19 (PPC) diumumkan Perdana Menteri untuk golongan B40. Pembelian alat pulse oxymeter untuk menyukat kadar oksigen pesakit telah diluluskan oleh Kerajaan dalam Sidang Khas Covid-19 Majlis Keselamatan Negara sebelum ini.
”Pemberian PPC yang berjumlah RM471.6 juta ini menunjukkan kesinambungan Kerajaan Prihatin yang peka kepada keperluan rakyat terutamanya golongan rentas,’’ katanya.
Muhyiddin berharap pakej bantuan itu dapat disegerakan dan sampai kepada golongan sasar mengikut perancangan demi kemaslahatan rakyat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kejayaan mencapai 80 peratus dewasa lengkap divaksinasi yang dirancang oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu bermakna lebih 40 juta dos vaksin telah diberikan kepada populasi Malaysia.
‘’Saya merasa teruja dan bangga dengan pencapaian ini, lebih-lebih lagi kejayaan ini dicapai sebulan lebih awal dari yang telah kita jadualkan,’’ kata beliau.
Muhyiddin berkata, seperti sering beliau ingatkan berhubung strategi kerajaan ketika menjadi Perdana Menteri ialah mahu seramai mungkin rakyat menerima vaksinasi lengkap. ‘’Lebih ramai divaksin, lebih ramai yang dilindungi daripada jangkitan Covid-19, lebih cepat kita membentuk imuniti kelompok. Ini sekali gus mengurangkan beban terhadap sistem kesihatan awam dan melancarkan proses pemulihan ekonomi,’’ katanya.
Tumpuan kini kata Muhyiddin patut diberikan kepada negeri yang masih rendah kadar vaksinasinya agar proses pemulihan dapat berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.
‘’Di Sabah misalnya, kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa paling rendah ketika ini dengan hanya 53.7 peratus. Negeri lain seperti Kelantan, Perak, Kedah dan Pahang masih di bawah 60 peratus,’’ kata beliau.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), terutamanya tim Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) diketuai Khairy Jamaluddin, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
‘’Tahniah juga kepada seluruh petugas barisan hadapan kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin komuniti dan para sukarelawan yang bertungkus-lumus menjayakan agenda utama kerajaan dalam menguruskan pandemik Covid-19,’’ katanya.
Leave a Reply