SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menahan tiga pegawainya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan.
Dalam kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan, ketiga-tiga pegawai terbabit telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama enam hari bermula 14 September hingga semalam.
‘’SPRM menegaskan agensi itu tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawainya yang terlibat dalam sebarang perbuatan jenayah serta akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perbuatan itu benar berlaku.
‘’Siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan SPRM berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini kerana ia akan menjejaskan siasatan,’’ kata kenyataan tersebut.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata, tiada sebarang laporan diterima setakat semalam berhubung tiga pegawai kanan SPRM mencuri barang kes berupa wang tunai AS$6 juta sebagaimana yang ditularkan.
Katanya, polis mengambil maklum tentang isu viral tersebut dan mengesahkan bahawa sehingga hari ini, tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian itu.
Abd Jalil berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menyalahguna media sosial untuk menyebarkan berita palsu.
Isu penahanan tiga pegawai SPRM itu mula diperkatakan apabila sebuah portal mendedahkan perkara berkenaan dengan mendakwa wang tersebut adalah milik bekas Ketua Pengarah Perisikan, Datuk Hasanah Abdul Hamid yang dirampas oleh agensi tersebut.
Leave a Reply