Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi membantu pendaftaran murid sekolah untuk tujuan vaksinasi.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Seri Dr. Radzi Jidin berkata, ini termasuk mengenal pasti sekolah-sekolah untuk dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) kepada murid sekolah.
“KPM turut membantu dalam menyediakan petugas dan keperluan logistik untuk tujuan ini.
“Kerjasama strategik KPM dan KKM ini pastinya dapat mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi kepada murid sekolah. KPM komited melakukan yang terbaik,” katanya dalam hantaran terbaharu dalam Facebook miliknya, hari ini.
Beliau bersama-sama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengadakan lawatan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8(1), Putrajaya, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan 1 yang juga Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A), Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali.
Dr. Radzi berkata, PICK Remaja adalah program vaksinasi untuk kumpulan remaja berusia 12 hingga 17 tahun.
“Seramai 323 murid berusia 16 dan 17 tahun dari SMK Putrajaya Presint 8 (1) menjadi kumpulan pertama menerima vaksin menerusi program PICK Remaja ini.
“Secara keseluruhan, terdapat seramai 377,591 murid berumur 16 tahun dan 371,676 murid berusia 17 tahun di seluruh negara. Alhamdulillah, proses vaksinasi pagi ini berlangsung dengan teratur dan tersusun,” katanya.
Katanya, sejurus tiba di sekolah, murid yang ditemani ibu bapa ataupenjaga perlu mendaftar, diambil suhu badan, diikuti sesi kaunseling dan persetujuan sebelum dibenarkan menerima suntikan vaksin.
Leave a Reply