Negeri Sembilan mampu beralih ke fasa empat PPN: Aminuddin

DASARKAN beberapa indikator berkaitan penggunaan fasiliti kesihatan di Negeri Sembilan ketika ini, negeri itu dilihat mampu beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Dalam catatan di Facebook rasminya hari ini, beliau menjelaskan antara indikatornya adalah tahap penggunaan alat bantuan pernafasan dan katil di Unit Rawatan Rapi serta penggunaan pusat kuarantin di negeri ini yang berada di bawah 50 peratus, manakala katil hospital pula mencatatkan kadar penggunaan di bawah 65 peratus.

“Menurut portal Covid-19 Kementerian Kesihatan (covidnow.gov.my), Negeri Sembilan juga mencatatkan 2.6 kes per 1,000 orang wabak itu iaitu merupakan kadar kedua terendah dalam Malaysia dan menunjukkan peluang cerah untuk beralih ke Fasa Empat PPN,” katanya.

Semalam, Aminuddin dilaporkan berkata, Negeri Sembilan dijangka beralih ke Fasa Empat PPN dalam tempoh seminggu lagi susulan negeri itu mencapai tahap imuniti kelompok dengan lebih 90 peratus individu melengkapkan dos kedua, namun ia perlu mengambil kira bilangan kes positif Covid-19 harian.

Sementara itu, beliau berkata 93.1 peratus atau 757,897 penduduk di negeri ini telah lengkap divaksin manakala 101.1 peratus (823,163) menerima dos pertama vaksin setakat Sabtu.

Beliau turut menasihati orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya Negeri Sembilan dapat beralih ke Fasa Empat PPN dengan cepat, sekali gus dapat merancakkan semula ekonomi penduduk dan negeri ini. – Bernama


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *