JPNJ terima RM16.66 juta untuk program Jaminan Bekalan Makanan

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

JABATAN Pertanian Negeri Johor (JPNJ) menerima peruntukan RM16.66 juta untuk menyelaras pelaksanaan enam program yang melibatkan seramai 1,583 penerima bermula tahun ini hingga tahun depan.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM2 juta diagihkan untuk program kolaborasi syarikat peneraju dengan pengusaha tanaman serta industri asas tani.

“Peruntukan yang diterima ini adalah menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi pelaksanaan program atau projek di bawah Program Jaminan Bekalan Makanan.

“Tujuannya bagi memastikan bekalan makanan mencukupi dan selamat dimakan di samping menjadikan Johor sebagai hab utama pengeluaran makanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara JPNJo dan pemain industri dengan pengusaha tanaman atau industri asas tTani, di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini .

Turut hadir Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Samsolbari Jamali.

Sesi Menandatangani MoU yang diadakan hari ini merupakan fasa pertama membabitkan enam syarikat peneraju dan 20 pengusaha manakala fasa kedua akan diadakan pada Januari 2022 membabitkan enam syarikat peneraju dan 50 pengusaha.

Hasni (belakang tengah) dan Tengku Zafrul (belakang kiri) menyaksikan Perjanjian Persefahaman (MoU) antara JPNJ bersama syarikat peneraju dan pengusaha pertanian dan industri asas tani di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Iskandar Puteri

Hasni berkata, program itu adalah satu kerjasama antara syarikat peneraju yang bertindak sebagai pemain industri dengan pengusaha tanaman atau industri asas tani menerusi urusan jual beli hasil atau produk pertanian, seterusnya mewujudkan perjanjian ladang kontrak.

Menurutnya, persefahaman tersebut bertujuan mendapatkan harga pasaran yang relevan serta menguntungkan kedua-dua pihak atas nasihat JPNJ.

“Syarikat peneraju akan bertanggungjawab mencari pasaran sama ada tempatan atau eksport, manakala pengusaha berperanan memastikan produk dikeluarkan dengan kuantiti yang mencukupi, berkualiti dan selamat.

“Menerusi program ini, setiap syarikat peneraju akan menerima insentif maksimum RM50,000 bagi setiap syarikat manakala setiap pengusaha menerima insentif maksimum RM20,000,” katanya.

Insentif berkenaan katanya, akan diberi dalam bentuk peralatan, mesin, kelengkapan atau infrastruktur yang diperlukan untuk meningkatkan produktiviti serta pembinaan bangunan pusat pengumpulan hasil ladang untuk memastikan proses pemasaran berjalan dengan lancar.

Hasni berkata, program itu dijangka mampu mengatasi masalah pemasaran serta lambakan produk pertanian yang sering dihadapi pengusaha, terutamanya pengusaha kecil dalam mendapatkan harga pasaran yang baik.

“Usaha ini adalah satu kaedah untuk mengeluarkan pengusaha iaitu petani kecil daripada kepompong kumpulan B40 di mana syarikat peneraju juga akan mendapat produk pertanian yang mencukupi dan berkualiti, seterusnya mampu meningkat,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *