Adakah semburan nano Covid-19 selamat?

Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menyiasat dan mengesahkan sama ada semburan nano untuk mencegah Covid-19 yang digunakan secara meluas ketika ini selamat atau sebaliknya.

Perkara itu memandangkan terlalu sedikit maklumat mengenai produk terbabit daripada pihak KKM sekali gus menimbulkan tanda tanya dan kebimbangan berhubung penggunaannya.

Menurut Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, sebilangan besar daripada produk itu tidak menyatakan bahan-bahan pada label malah ada yang menyebut ‘bahan aktif yang terbukti melawan virus yang disenaraikan dalam’ Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Agensi Alam Sekitar Nasional dan KKM.

Jelasnya, walaupun bahan kimia itu mungkin dinyatakan selamat dan berkesan oleh pelbagai agensi dan organisasi, namun ia mesti diperlakukan dengan berhati-hati kerana aspek ‘keselamatan’ bahan kimia tersebut bergantung kepada jangka masa pendedahan serta kepekatannya dalam cecair.

“Lebih-lebih lagi, seseorang itu mungkin mempunyai tindak balas kesan sampingan terhadap bahan kimia tertentu dalam cecair.

“Sesetengah cecair yang dijual bahkan tidak mempunyai label amaran yang betul, arahan pengendalian, nama pengeluar atau pengedar, serta bahan dan kepekatannya.

“Oleh itu, kita tidak tahu sama ada siapa dan di mana cecair ini disediakan dan dibotolkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohideen, CAP bimbang kerana sesetengah orang telah menggunakan senapang itu untuk menyembur cecair aerosol ke seluruh badan mereka.

Sedangkan jelasnya, penyedutan aerosol mungkin boleh memudaratkan sistem pernafasan seseorang atau cecair itu mungkin bersentuhan dengan mata dan mulut mereka.

“Orang ramai mungkin boleh berkongsi maklumat ini secara tidak sengaja melalui media sosial dengan demikian boleh memberi maklumat yang salah kepada orang lain,” katanya.

Sehubungan itu tegasnya, CAP sekali lagi kami mengulangi gesaan kepada KKM khususnya untuk menyampaikan maklumat secepat mungkin mengenai senapang semburan nano dan cecair pembersih yang mereka gunakan.

Jelasnya, adalah amat berguna sekiranya maklumat itu boleh didapati dalam bentuk soalan lazim (FAQ) agar orang awam dapat memahaminya.

“Senapang semburan nano adalah antara barangan yang popular kerana dianggap sebagai kaedah pembersihan yang sesuai sekurang-kurangnya untuk kegunaan peribadi dan oleh itu orang ramai perlu tahu apakah bahan kimia yang mereka kendalikan itu selamat,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *