78.2 peratus populasi dewasa Malaysia sudah divaksin

Oleh RAHIMI MOHAMAD

KADAR vaksinasi bagi populasi dewasa yang disasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus di negara ini akan dicapai setelah hanya tinggal 1.8 peratus golongan itu yang belum divaksin atau lengkap dua dos suntikan.

Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, Malaysia telah merekodkan 78.2 peratus daripada populasi dewasa yang telah lengkap divaksinasi sehingga semalam.

Justeru, kata beliau, tumpuan kini diberikan kepada negeri-negeri tertentu untuk mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus populasi dewasa lengkap divaksin menjelang akhir September.

“Pada bulan ini, kadar liputan adalah lebih tinggi apabila usaha melakukan vaksinasi rakyat ditumpukan di negeri-negeri yang masih mencatatkan kadar vaksinasi rendah iaitu Kelantan, Pahang, Kedah, Perak dan Sabah seperti yang telah diumumkan sebelum ini,” katanya.

Terdahulu Dr. Adham melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu OKU Sentral yang turut dihadiri Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, liputan vaksinasi di kebanyakan negeri ketika ini juga berada pada landasan baik terutamanya di Sarawak, Labuan dan Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Trend penurunan kadar vaksinasi dapat dilihat di kawasan tersebut tetapi itu tidak bermakna usaha vaksinasi diperlahankan sebaliknya lebih tertumpu kepada negeri dan kawasan yang tertentu termasuk bagi menyasarkan kumpulan yang tercicir,” katanya.

Tambahnya, kadar vaksinasi negara yang dicatatkan semalam pula adalah sebanyak 232,559 suntikan dos dengan jumlah terbesar diberi di Sabah, Johor dan Lembah Klang.

Sementara itu, Dr. Adham memaklumkan proses vaksinasi melibatkan golongan orang kurang upaya (OKU) telah mencapai 89.9 peratus atau seramai 517,447 orang daripada 575,564 orang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

“Seramai 401,425 daripada mereka telah lengkap vaksinasi penuh iaitu sekitar 69.74 peratus jumlah OKU yang mendaftar untuk vaksinasi,” jelasnya.

Dalam pada itu, bermula esok hingga 30 Sepetang ini, PPV Pandu Lalu OKU Sentral di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru, Arena Larkin akan mula dibuka untuk orang ramai secara ‘walk-in’ pandu lalu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *