MOHD LAZIM ENDUT
SEKUMPULAN remaja yang begitu ghairah berkonvoi motosikal sempena cuti hujung minggu di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu semalam terkedu apabila lokasi tersebut ‘dikepung’ polis.
Dalam keadaan terpinga-pinga, kumpulan tersebut pada mulanya ingin melarikan diri, namun gagal apabila semua laluan dikawasan berkenaan telah ‘disekat’ sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu Superintendan Ismail Man, polis mengadakan operasi tersebut bermula pukul 2 petang hingga 7 malam setelah menerima maklumat awam memaklumkan terdapat pergerakan remaja bermotosikal dengan jumlah yang banyak menghala ke kawasan peranginan itu.
Katanya, pergerakan secara berkumpulan itu mungkin disebabkan Terengganu telah beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula semalam.
Menurut Ismail, pihaknya terlebih dahulu melakukan pemantauan sebelum bertindak mengepung kumpulan berkenaan di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kenyir.
Beliau memberitahu, selepas membuat serbuan dan mengepung kumpulan remaja terbabit, polis kemudian berjaya menahan kesemuanya.
“Setelah pemeriksaan dibuat, kita mendapati konvoi itu terdiri daripada beberapa kumpulan membabitkan dari Kuala Terengganu, Dungun, Marang dan Kemaman sebelum mereka bergabung di kawasan tasik tersebut.
“Kita difahamkan, mereka ke sini untuk menikmati hidangan ikan baung dan bergambar di lokasi berkenaan, malangnya mereka terlebih dahulu diserbu polis sebelum sempat masuk ke kawasan tersebut,” katanya kepada media hari ini.
Ismail memberitahu, dalam operasi tersebut sebanyak 160 motosikal ditahan dan seramai 190 individu termasuk 20 wanita berusia antara 17 hingga 30 tahun turut diperiksa.
Ujarnya, sebanyak 94 saman dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan seperti tiada cermin sisi, tidak mempamerkan pelekat L dan P, ubah suai ekzos, aksesori tidak sempurna, tiada nombor pendaftaran dan nombor plat tidak mengikut peraturan.
Leave a Reply