POLIS sedang memburu seorang pemandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang didapati memandu secara melawan arus dalam usaha melarikan diri daripada ditahan polis, semalam.
Video kejadian itu yang tular berlaku di Kilometer 72 Jalan Klang-Teluk Intan, Sekinchan yang merakamkan kenderaan berkenaan memandu melawan arus sejauh dua kilometer kira-kira pukul 6.30 petang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, polis bertindak mengekori kenderaan suspek hingga ke Jalan Tali Air 6 sebelum secara tiba-tiba suspek memandu melawan arus sehingga ke Jalan Tali Air 7 dan terus memasuki Jalan Haji Miskan.
Ujarnya, pemandu MPV itu dipercayai melompat keluar dari kenderaannya sekali gus menyebabkan MPV berkenaan terbabas ke parit di sebelah kiri jalan.
“Pemandu MPV itu berjaya melarikan diri, namun seorang lelaki di tempat duduk penumpang hadapan berjaya ditahan.
“Polis sudah mengenal pasti identiti pemandu MPV terbabit dan usaha memburunya sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut Chee Khoon berkata, pemeriksaan polis ke atas penumpang berusia 27 tahun itu kemudian menemukan sebanyak 19 peket dadah disyaki jenis syabu seberat 15.5 gram bernilai RM450 di dalam beg sandangnya.
Ujarnya, suspek yang cedera ringan pada kaki kiri itu didapati mempunyai rekod lampau dadah.
“Ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.Suspek kemudian diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.
Tular rakaman video berdurasi 1 minit 2 saat dalam media sosial yang menunjukkan sebuah MPV dipandu secara lawan arus sambil dikejar polis.
Video itu turut mendapat perhatian netizen yang rata-rata mengecam tindakan pemandu MPV terbabit kerana membahayakan pengguna jalan raya lain.
Leave a Reply