13 geng motosikal lasak ditahan ceroboh hutan simpan Tembat

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

TINDAKAN sekumpulan geng motosikal lasak mengadakan aktiviti di di kawasan Hutan Simpan Tembat, Hulu Terengganu tanpa kebenaran membawa padah, apabila mereka ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Terengganu, petang semalam.

Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu, Roslan Rani, kelibat 13 lelaki tempatan berusia antara 32 hingga 49 tahun yang menunggang motosikal lasak pelbagai model berjaya dihidu anggotanya, sebelum mereka ditahan pada pukul 1 petang.

Menurut beliau, setelah pemeriksan dibuat mendapati kumpulan terbabit menceroboh hutan simpan itu kerana ingin mengadakan aktiviti sukan lasak.

Bagaimanapun katanya, tindakan itu merupakan satu kesalahan kerana mereka tidak memohon sebarang permit daripada Jabatan Perhutanan.

Justeru, Roslan ingin mengingatkan kepada orang ramai yang ingin memasuki kawasan hutan simpan atau ingin mengadakan apa jua aktiviti mestilah memohon permit daripada Jabatan Perhutanan bagi mengelak tindakan undang-undang.

“Kesemua yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 47 (1) (c) Enakmen Perhutanan Negara (Penerimaan-pakai) 1986 Negeri
Terengganu,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Roslan memberitahu, sekiranya disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, 13 motosikal lasak itu kini disita untuk siasatan lanjut dan pihaknya meminta orang ramai yang memperoleh maklumat berhubung pencerobohan di kawasan hutan simpan kekal diminta agar memaklumkan secara rasmi kepada pihaknya berserta bukti untuk membolehkan siasatan dan tangkapan dibuat.

“Kami juga ingin menasihatkan orang ramai agar mendapatkan maklumat jelas berhubung keperluan dan kaedah permohonan permit sebelum memasuki hutan simpan kekal di Pejabat Perhutanan daerah terdekat sebelum menjalankan sebarang aktiviti.

“Kita bersama agensi penguat kuasa lain akan terus menjalankan operasi dan pemantauan bersepadu bagi memastikan aktiviti pencerobohan hutan simpan kekal dapat dibendung,” jelas beliau.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *