rentas negeri

Polis tolak 5,799 permohonan rentas negeri sejak 10 Sept

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

POLIS menolak 5,799 permohonan rentas negeri sejak 10 September lalu hingga semalam atas pelbagai alasan.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mastor Mohd Ariff berkata, antara alasan yang diberikan termasuk untuk meninjau rumah dan menziarah ibu bapa di kampung.

“Bagaimanapun, nak melancong ke Langkawi, Kedah (gelembung pelancongan) tiada masalah. Kalau cukup syarat seperti lengkap vaksin, polis akan benarkan. Setakat ini, polis tiada statistik untuk kebenaran melancong.

“Kita juga keluarkan sebanyak 5,794 permit kebenaran rentas negeri atas alasan ziarah kematian, kecemasan (20,180), pasangan jarak jauh (17,561), anak jarak jauh (3,768) dan bekerja sendiri (40,041) dalam tempoh sama,” lapor BH, hari ini.

Pada Ahad lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dilaporkan berkata, individu menggunakan pesawat untuk melancong ke Pulau Langkawi bermula semalam tidak perlu mendapatkan surat kebenaran polis.

Hanya mereka yang menggunakan pengangkutan darat dari luar negeri terbabit perlu berbuat demikian.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan kebenaran kepada pengunjung domestik dari seluruh negara untuk mengunjungi Langkawi, kecuali mereka yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Kunjungan ke pulau peranginan di utara tanah air yang dipilih sebagai destinasi pertama projek rintis program gelembung pelancongan itu bagaimanapun terhad kepada individu lengkap dos vaksin Covid-19.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *