Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas sebanyak 14 set bubu naga di dua lokasi berbeza sekitar 1.8 kilometer dari barat laut Sungai Air Hitam semalam.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bubu itu dikesan ketika rondaan rutin Op Bengeng Laut dan Op Pertiwi antara pukul 4 hingga 5.20 petang.
Menurut beliau, 14 set bubu naga dengan anggaran nilai hampir RM1,860 itu dirampas lalu dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut.
Tambah beliau, penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain terutama nelayan tradisional pesisir pantai.
“Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.
“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Abd. Razak, nelayan diingatkan mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.
Jelasnya, Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram ini dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.
“Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya.
Leave a Reply