DAP MoU Lim Kit Siang

Jamin DAP hormati MoU, terima kasih Uncle Kit

AKHIRNYA Lim Kit Siang menunjukkan kematangan yang sangat luar biasa sepanjang karier politiknya yang melebihi separuh abad.

Orang lama dalam pakatan pembangkang itu memujuk sekutu-sekutunya iaitu Pejuang, Warisan dan Muda untuk mengikut langkah DAP, PKR dan Amanah memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama kerajaan.

Pemimpin veteran DAP itu juga memberi jaminan bahawa partinya akan menghormati MoU yang turut dimeterai oleh anaknya, Lim Guan Eng pada 13 September lalu.

Bukan rahsia lagi bahawa Kit Siang mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam DAP dan setiap pandangannya akan diterjemahkan sebagai arahan yang mesti dipatuhi oleh segenap peringkat kepimpinan parti.

Jaminan yang diberi oleh Kit Siang itu pasti bukan sahaja melegakan kerajaan malah komuniti perniagaan yang sebahagian besarnya merupakan kaum Cina di kawasan bandar yang dikuasai oleh DAP.

Sebagai ahli perniagaan, mereka amat memahami bahawa usaha memulihkan semula ekonomi negara yang terjejas akibat krisis pandemik Covid-19 sangat bergantung kepada kestabilan politik.

Tanpa kestabilan politik, kerajaan sukar untuk melaksanakan langkah-langkah pemulihan yang berkesan bagi membolehkan aktiviti ekonomi kembali rancak berkembang seperti dahulu.

Politiking melampau yang tidak berkesudahan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) merupakan salah satu faktor yang mengikis keyakinan pelaburan asing terhadap negara ini.

Akibatnya, pertumbuhan ekonomi negara menyusut dan menimbulkan kesan sampingan seperti peningkatan kadar pengangguran serta pengurangan kuasa beli rakyat.

Apabila keadaan itu berlaku, tempiasnya turut dirasai oleh komuniti perniagaan Cina yang diketahui teguh menyokong DAP sejak lebih sedekad lalu.

Hasil jualan mereka berkurangan malah sebahagian peniaga kecil dalam kalangan mereka terpaksa gulung tikar kerana tidak terdaya lagi menampung kerugian berterusan sejak pandemik melanda awal tahun lalu.

Seperti mana-mana parti politik lain, DAP perlu menjaga kepentingan kelompok yang mengundinya supaya terus menerima sokongan pada PRU akan datang.

Jika DAP dan PH masih mengamalkan sikap membangkang secara semberono dan membuta tuli, mereka pasti akan dihukum oleh penyokong sendiri yang terhimpit akibat krisis ekonomi.

DAP tidak mempunyai masalah untuk meyakinkan PKR dan Amanah kerana kedua-dua parti itu juga dominan di kawasan bandar dan mereka juga bergantung kepada sokongan komuniti perniagaan.

Warisan dan Pejuang pula lain halnya kerana kedua-dua parti itu menerima sokongan daripada masyarakat luar bandar yang menerima banyak bantuan daripada kerajaan sejak krisis COVID-19 bermula.

Begitu juga dengan satu-satunya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selaku Ahli Parlimen tunggal yang mewakili Muda.

Namun, pemimpin-pemimpin Warisan, Pejuang dan Muda sepatutnya ingat bahawa situasi semasa di negara ini memerlukan semua parti politik tanpa mengira sama ada yang di pihak kerajaan atau pembangkang bekerjasama, sekurang-kurangnya sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan PRU-15.

Sebagai veteran yang sangat berpengalaman dalam gelanggang politik tanah air, Kit Siang memahami hakikat ini.

Malah, tanpa bersembunyi beliau menyatakan bahawa langkah memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik adalah ‘untuk masa depan yang lebih baik bagi semua rakyat Malaysia’.

Pemerhati politik juga menyifatkan MoU tersebut memberi situasi menang-menang kepada semua pihak yang menandatanganinya.

Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Syed Saddiq seharusnya mempertimbangkan rayuan Kit Siang itu semasak-masaknya.

Kedegilan Pejuang, Warisan dan Muda akan menyebabkan mereka dilihat sebagai ‘kera sumbang’ yang menentang arus politik kontemporari, sekali gus akan dihukum oleh rakyat yang mual dan jelak dengan sikap gedebe politik mereka.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *