Malaysia COVID

Muhyiddin yakin Malaysia pulih dari krisis COVID-19

BERBEKALKAN semangat perwira dan pejuang terdahulu, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin dan percaya semua pihak mampu mencipta keajaiban untuk membawa Malaysia keluar dari krisis kesihatan dan ekonomi kesan daripada pandemik COVID-19.

Selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, beliau akan memastikan setiap perancangan untuk merancakkan semula aktiviti sosioekonomi negara dibuat secara komprehensif, teratur dan lestari.

Yang penting, kata beliau, setiap rakyat haruslah dapat merasai nikmat dan manfaat daripadanya selaras dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, 2021 adalah Tahun Pemulihan Malaysia. Justeru, Hari Malaysia 2021 adalah sambutan yang istimewa, kerana pada tahun inilah kita memasang azam dan iltizam untuk keluar dari pandemik, tinggalkan ketakutan dan bangkit kembali daripada kepedihan setahun lampau.

“Ya, ada antara kita kehilangan insan tersayang yang menjadi korban COVID-19, malah mungkin kita sendiri pernah menjadi mangsanya. Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya dan takziah kepada waris yang tinggal.

“Insya-Allah, saya doakan episod duka ini akan berlalu dan kita akan meneruskan kehidupan,” katanya dalam ucapan sempena Hari Malaysia 2021 yang disiarkan secara langsung dalam laman Facebook beliau, hari ini.

Muhyiddin bersyukur kerana negara kini berada di landasan yang betul dan berkat perancangan rapi kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak awal tahun lalu, tanda-tanda pemulihan yang samar-samar sebelum ini sudah semakin jelas di hadapan mata.

Menurut beliau, paling ketara adalah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang menyaksikan kadar vaksinasi negara antara yang terpantas di dunia.

Terkini, kata Muhyiddin, lebih 73.4 peratus populasi dewasa Malaysia atau lebih 17 juta individu sudah lengkap divaksin.

“Manakala sebanyak 91.3 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos. Ini bermakna, kita sudah semakin hampir untuk mencapai imuniti kelompok. Syabas rakyat Malaysia!” ujarnya.

Muhyiddin menambah, selari dengan pencapaian program vaksinasi, dapat dillihat bahawa aktiviti sosioekonomi kembali rancak.

Beliau memberitahu, kesemua negeri kecuali Johor dan Kedah telah beralih dari Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menyaksikan pergerakan rakyat lebih bebas dengan tertakluk kepada SOP kesihatan yang masih berkuatkuasa dan banyak kelonggaran yang diberikan.

“Terbaharu, gelembung perjalanan atau ‘travel bubble’ diperkenalkan untuk menggiatkan semula sektor pelancongan dengan Langkawi menjadi destinasi pertama.

“Saya difahamkan hampir semua tempahan hotel di Langkawi sudah penuh. Ini adalah permulaan yang baik untuk sektor pelancongan negara,” jelasnya.

Muhyiddin berkata, dengan pembukaan banyak sektor sosial dan ekonomi, tidak bermakna perang melawan COVID-19 sudah tamat.

“Kita mesti terus berwaspada kerana kemunculan varian baharu yang lebih ganas dan bahaya akan terus mengancam nyawa. Janganlah sesekali kita mengambil sikap sambil lewa, walaupun pandemik ini nanti telah diisytiharkan sebagai endemik.

“Kita mesti terus melindungi diri kita, supaya kita dapat melindungi orang tersayang dan negara keseluruhannya,” katanya.

Sempena Hari Malaysia 2021, beliau menyeru semua pihak agar terus bersatu hati sebagai satu bangsa demi mencapai matlamat bersama memenangi perang melawan COVID-19 untuk membebaskan negara kita daripada kancah krisis kesihatan ini.

“Marilah kita bersama-sama menggembleng tenaga dan berganding bahu membina semula ekonomi dan kehidupan kita pasca pandemik.

“Semoga hari esok membawa sinar yang menerangi kehidupan kita semua, insya-Allah,” katanya.

Muhyiddin juga berharap kerajaan dapat meneruskan usaha-usaha untuk memenuhi semangat dan hasrat Perjanjian Malaysia 1963 yang mana beberapa pencapaian telah terhasil semasa pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri dahulu.

“Usaha ini adalah amat penting dan bermakna kepada rakyat Sabah dan Sarawak yang pastinya akan memperkukuhkan lagi semangat perpaduan dan integrasi nasional di negara kita,” ujarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *