pengusaha hotel

Muhyiddin harap kerajaan dengar rayuan pengusaha hotel, inap desa

MAJORITI pengusaha hotel dan inap desa merayu kepada kerajaan untuk memberikan mereka ruang dan insentif bagi membangunkan semula industri pelancongan yang paling terkesan akibat pandemik COVID-19.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mereka juga memberikan komitmen untuk memastikan semua kakitangan menerima suntikan vaksin bersama jaminan semua fasiliti dan fasiliti penginapan disanitasi dari semasa ke semasa bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

“Sebagaimana yang kita sedia maklum, sektor pelancongan adalah antara penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia dan pada tahun 2019 sebelum pandemik, sektor ini menyumbang sebanyak 15.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Berikutan penutupan sempadan negara dan Perintah Kawalan Pergerakan, sektor ini antara sektor yang paling terjejas oleh pandemik COVID-19,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Hari ini, Muhyiddin berpeluang untuk memantau dan melihat sendiri persediaan pembukaan sektor pelancongan domestik di Pulau Langkawi seperti yang dirancang dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pulau Langkawi merupakan destinasi pertama yang dipilih sebagai projek rintis gelembung pelancongan oleh MPN sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.

Muhyiddin turut diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi, Nasaruddin Abd Mutalib dan menyertai majlis dialog bersama wakil-wakil pengusaha hotel, pengusaha inap desa, pengusaha kereta sewa dan pemandu teksi.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar.

Pada majlis dialog tersebut, Muhyiddin telah menerima beberapa memorandum daripada wakil-wakil pengusaha industri pelancongan.

Beliau akan membawa pandangan dan cadangan mereka kepada MPN dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Muhyiddin menambah, di bawah pakej rangsangan ekonomi yang telah beliau umumkan sejak Mac 2020, lebih RM249.7 juta telah dimanfaatkan oleh rakyat dan perniagaan di Pulau Langkawi.

Antaranya, kata beliau, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sebanyak RM19 juta telah diberikan kepada 24,058 penerima dan Program Subsidi Upah sebanyak RM182.3 juta kepada 1, 522 majikan yang memanfaatkan 31, 852 pekerja.

Muhyiddin memberitahu, sebanyak RM386,500 juga telah diberikan kepada 773 pemandu teksi dan bas, manakala sejumlah RM35,400 telah diberikan kepada 59 pengusaha inap desa.

“Besar harapan saya agar kejayaan pembukaan gelembung pelancongan Pulau Langkawi ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak pembukaan destinasi gelembung pelancongan dengan selamat dan teratur.

“Kejayaan gelembung pelancongan Pulau Langkawi ini juga bakal menjadi penanda aras kepada pembukaan destinasi-destinasi pelancongan lain dalam masa terdekat, insya-Allah,” jelasnya.

Beliau berharap agar semua yang terlibat dalam rantaian sektor pelancongan yang terkesan akibat pandemik terutamanya peniaga kecil dan sederhana, dapat menikmati manfaat daripada pembukaan gelembung pelancongan ini.

“Ingin saya tegaskan, walaupun kita telah lengkap divaksin dan diberikan beberapa kelonggaran, saya berharap kita semua dapat terus patuhi SOP yang ditetapkan bagi mengelak penularan jangkitan COVID-19.

“Kepada mereka yang sudah dan bakal tiba untuk becuti di Pulau Langkawi, saya ucapkan selamat beristirahat dan semoga anda semua terus dilindungi, insya-Allah,” ujarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *