WALAUPUN Tan Sri Muhyiddin Yassin sudahpun meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos lalu namun ‘musuh-musuh’ politik beliau terus menjadikan Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai ‘sasaran serangan’.
Cara mereka berhujah dan bercakap seolah-olah Presiden Bersatu itu tidak melakukan sekelumit pun kebaikan atau jasa ketika beliau menjadi Perdana Menteri selama 17 bulan.
Ternyata kelompok yang berbuat demikian bagaikan sudah menutup mata dan hati mereka untuk menerima fakta dan kebenaran yang semakin terkuak selepas selama ini mereka berjaya menjatuhkan beliau dengan slogan ‘kerajaan gagal’.
Ketika mereka terus menolak Muhyiddin dengan alasan beliau gagal menguruskan pandemik Covid-19 semasa menjadi Perdana Menteri, kebenaran mula terdedah dengan beberapa negeri kini sudah melangkah ke fasa pemulihan seterusnya. Hanya tinggal Kedah dan Johor sahaja masih di Fasa 1, negeri-negeri lain sudah melangkah ke Fasa 2, Fasa 3 dan Fasa 4.
Pada masa sama sektor ekonomi juga semakin bernafas kembali manakala pelaburan asing juga semakin meningkat, sekaligus membuktikan apa yang dirancang oleh Muhyiddin melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika beliau menjadi Perdana Menteri sudah berjaya.
Kalau beliau gagal, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) tidak akan mencapai jumlah sekarang iaitu 21.6 juta atau 66.3 peratus mendapat sekurang-kurangnya satu dos dan keseluruhan lengkap divaksinsi 17.65 juta atau 54.1 peratus (mengikut data covidnow.moh.gov.my) setakat semalam.
Tetapi adakah fakta-fakta ini akan diambil kira oleh ‘musuh-musuh politiknya’?..Sudah pasti tidak. Sebab itulah mereka terus ‘menyerang’ beliau sehingga pelantikan sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) pun dipertikaikan. Dan kelmarin Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempertahankan pelantikan itu.
Ismail Sabri tidak mahu terperangkap dengan kejahilan mainan politik kelompok tersebut yang cuba memadamkan sama sekali segala kemampuan dan keupayaan Muhyiddin dalam membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19. Mereka sebenarnya tahu keupayaan Muhyiddin dan mereka juga faham apa yang sudah dilakukan oleh beliau.
Namun mereka buat-buat tidak nampak, jadi mereka pun menggunakan ‘modal basi’ iaitu mempersoalkan bagaimana Muhyiddin yang kononnya mengetuai ‘kerajaan gagal’ boleh dilantik menjadi Pengerusi MPN.
Ismail Sabri hanya menjawab ringkas ketika diaju persoalan itu di Dewan Rakyat,’’ “Dari segi MPN yang dipengerusi Ahli Parlimen Pagoh, memang Ahli Parlimen Pagoh telah menjadi Pengerusi sejak mula MPN diwujudkan. Jadi oleh sebab itu kita beri kepercayaan kepada beliau untuk teruskan tugas.’’
Penulis juga hairan dengan tindakan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mendedahkan kononnya Ismail Sabri berjanji untuk melantik Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr.Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi MPN.
Kata Mukhriz, ‘’ Malangnya janji itu tak dikotakan tapi kita rasakan ini masih lagi perkara yang sangat penting jika kita serius ingin tangani krisis yang dihadapi hari ini.’’
Soalnya apakah pelantikan Muhyiddin itu tidak serius? Sedangkan Muhyiddin lah orang yang bertanggungjawab melaksanakan Pelan Pemulihan Negara sehingga negara kini berada di landasan yang betul untuk keluar daripada pandemik Covid-19.
Mengapa Mukhriz hanya mempersoalkan bapanya tidak lantik? Kenapa beliau tidak menghuraikan kenyataan Dr.Mahathir seperti mana disiarkan dalam NST pada 19 Ogos bahawa ‘’Saya tidak mahu menjadi Perdana Menteri. Saya mahu mengetuai Mageran atau Majlis Pemulihan Negara tetapi apa juga yang diputuskan, kerajaan mesti terima.’’
Bukankah dengan syarat itu, lebih baik Dr.Mahathir sahaja menjadi Perdana Menteri? Sedangkan Muhyiddin bukan sahaja tidak meletakkan apa-apa syarat malah bersedia untuk bekerja secara sukarela tanpa sebarang imbuhan.
Begitu juga apabila ada pemimpin pembangkang mempersoalkan bagaimana Muhyiddin dilantik sedangkan beliau dilihat gagal menurunkan kes baharu Covid-19. Betulkah begitu?
Kalau itulah hujahnya sekarang sudah genap sebulan Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, adakah kes tersebut sudah turun? Setakat semalam kes baharu ialah 19,495 manakala kematian pula 422 kes, adakah itu salah Muhyiddin? Kes Covid-19 ini bukan boleh buat janji ‘malam ini kita menang, esok.. harga minyak turun…’’.
Terdapat banyak faktor yang mendorong kenaikan kes itu dan kerajaan di bawah Muhyiddin sudah berusaha sedaya upaya.
Kita juga sudah bosan dan mual apabila ada seorang pemimpin itu masih bercakap soal PKP ‘separuh masak’, tidak habis-habis menggunakan modal tersebut – entah kenapa yang beliau suka sangat benda-benda ‘separuh masak ini’ – sedangkan kalau diteliti tiada komen positif yang dibuat oleh pemimpin tersebut terhadap langkah kerajaan di bawah Muhyiddin memerangi Covid-19.
Apa yang penulis ingin sampaikan ialah cukup-cukuplah cari pasal dengan Muhyiddin dan menjadikan beliau sebagai modal untuk meraihkan populariti. Kenapa takut sangat dengan bekas Perdana Menteri? Adakah semua ‘serangan’ berterusan ini kerana bimbang selepas beliau membuat kenyataan baru-baru ini akan bertanding dalam PRU-15 dan PN akan kembali?
Atau adakah mereka bimbang Muhyiddin akan berjaya sebagai Pengerusi MPN sehingga ia akan ‘membongkar’ segala dakyah politik mereka yang menggambarkan Muhyiddin gagal sebagai Perdana Menteri dan sekaligus akan membolehkan rakyat kembali menyokong beliau?
Sekarang pun semakin ramai rakyat sedar apa yang Muhyiddin sudah lakukan dalam menangani pandemik Covid-19 dan membantu rakyat ketika menjadi Perdana Menteri sehinggakan dalam media-media sosial semakin banyak sokongan yang beliau terima.
Kalau mereka tidak ada niat atau kebimbangan maka usahlah ganggu Muhyiddin lagi. Tumpuan sekarang ialah memulihkan negara. Muhyiddin pun memahami tanggungjawab berat beliau untuk membantu Perdana Menteri dalam soal tersebut.
Lagipun penulis percaya Muhyiddin mampu memberi tumpuan penuh dan melaksanakan tugas itu dengan berkesan kerana beliau tidak apa-apa kes sehingga menyebabkan terpaksa berulang alik ke mahkamah sepanjang masa.
Yang masih dok menggunakan Muhyiddin sebagai modal politik, belajar-belajar bermuhasabah atau carilah modal lain, bukan apa penulis bimbang ada yang akan dianggap bagaikan ‘ayam jantan berkokok kuat tapi ekor bergelumang dengan najis!’’
Leave a Reply