Oleh RIZQI ZABIDI
ALOR SETAR – Universiti Utara Malaysia (UUM) bersedia untuk kembali menerima kepulangan mahasiswa secara berperingkat seperti diumumkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad semalam.
Menurut Timbalan Naib Canselornya (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah, sehingga semalam seramai kira-kira 3,000 mahasiswa lama telah mendaftar untuk kembali ke kampus.
Selain itu katanya, sebanyak 5,200 mahasiswa baharu sudah pun menerima surat tawaran kemasukan ke UUM.
“Tarikh pengesahan untuk mereka kembali ke kampus, bagaimanapun masih dibuka hingga penghujung September.
“UUM menyambut baik keputsuan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk melaksanakan kemasukan mahasiswa secara berperingkat dan telah menyiapkan garis panduan mengenainya membabitkan semua jabatan berkaitan seperti Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Akademik, Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan dan Jabatan Keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Haim Hilman yang turut menjalankan fungsi Naib Canselor menambah, proses kemasukan mahasiswa itu akan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) sektor pendidikan tinggi berkaitan pengoperasian Institut Pengajian Tinggi (IPT).
Justeru katanya, SOP yang ketat akan diamalkan bagi menguruskan pergerakan keluar dan masuk bukan hanya melibatkan mahasiswa tempatan, malah mahasiswa antarabangsa.
“Bagi melancarkan proses kemasukan mahasiswa secara fizikal nanti, mereka yang akan kembali perlu memenuhi syarat lengkap vaksin dan melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin.
“Makalah mahasiswa yang belum menerima suntikan iu, mereka boleh menghubungi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk mendapatkan vaksinasi secara ‘walk in’ di pusat pemberian vaksin berdekatan,” katanya.
Tambahnya, proses kepulangan mahasiswa ke kampus akan mengikut kaedah-kaedah yang telah diumumkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan UUM sudah pun membuat perancangan teliti termasuk mengenal pasti mahasiswa yang akan kembali ke kampus, menentukan jadual pergerakan dan memastikan warga universiti melalui proses kesihatan ketat.
“Bagi mahasiswa yang tidak pulang ke kampus pula, UUM tetap akan memberi perhatian termasuk kebajikan mereka sepanjang berada di rumah masing-masing.
“Malah kalangan mahasiswa iu juga boleh menghubungi pihak universiti bagi mendapatkan sebarang bantuan atau maklumat di sepanjang pengajian,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut berterima kasih kepada pihak kementerian berikutan keprihatinan ditunjukkan kepada bebanan keluarga serta mahasiswa memerlukan dengan mengurangkan yuran sebanyak 20 peratus kepada semua pelajar tempatan bagi Semester 1 Sesi 2021/2022.
Leave a Reply