SELEPAS dikritik hebat pengguna media sosial, Imam Besar Masjid Putra, Ikmal Zaidi Hashim malam tadi memohon maaf secara terbuka berhubung kenyataannya mengenai isu layanan dua darjat bagi solat Jumaat di masjid itu, baru-baru ini.
Menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook Masjid Putra, Ikmal memaklumkan, pihaknya akan memperbaiki keadaan terutamanya pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di masjid berkenaan.
“Saya Imam Besar Masjid Putra, ingin memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam yang mengetahui kes ini secara jauh mahupun dekat diatas reaksi saya yang dilihat agak keterlaluan berhubung video yang tular di media massa dan sosial pada Jumaat lalu.
“Dengan rendah hati saya ingin memohon maaf diatas segala keterlanjuran berkenaan dan berazam serta berjanji akan memperbaiki keadaan terutamanya mengenai pelaksanaan SOP di Masjid Putra,” katanya malam tadi.
Ikmal sehubungan itu mengajak jemaah Masjid Putra agar terus mengimarahkan aktiviti sama ada bagi solat Jumaat atau fardu serta program yang dianjurkan oleh pihak masjid.
Menerusi satu video yang tular sebelum ini, Ikmal menjelaskan keadaan sebenar berhubung isu tular tersebut dan menyatakan beliau tidak reda dengan penyebaran klip video tersebut.
Ikmal dilaporkan berkata, Masjid Putra sememangnya memperuntukkan kuota khas untuk VIP sebanyak 10 peratus, iaitu sebanyak 30 tempat daripada kapasiti 300 jemaah yang dibenarkan, dan untuk pegawai kerajaan berpangkat pengarah dan ke atas.
Beliau dilaporkan turut menggesa individu yang menularkan video itu tampil memohon maaf kepada pihak pengurusan masjid.
Leave a Reply