ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) akan membantu proses vaksinasi 1,054 anak-anak pegawai dan anggota tentera yang terdiri daripada pelajar sekolah berumur 16 dan 17 tahun sebelum sesi persekolahan bermula secara berperingkat.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Kor Kesihatan Diraja sentiasa bersedia untuk diatur gerak bila-bila masa bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) memberi vaksin kepada semua pelajar sekolah berkenaan.
Menurut beliau, langkah itu termasuk melalui Pasukan Vaksinasi Perubatan Tempur (CMVT) mahupun membuka stesen pemberian vaksin pandu lalu.
“Kementerian Pertahanan akan mendapatkan maklum balas terperinci daripada Kementerian Pendidikan (KPM) dan KKM dalam perkara ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, Hishammuddin menghadiri mesyuarat bersama Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin; Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali serta para pegawai dari Majlis Keselamatan Negara (MKN), Markas ATM dan pasukan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Hishammuddin menambah, ATM akan membantu menyediakan kit ujian saringan COVID-19 untuk sekolah-sekolah dalam kem tentera.
Beliau memberitahu, ATM juga akan meletakkan pasukan dalam keadaan bersiap siaga bagi membantu pihak sekolah dalam pengurusan selepas ujian kendiri dilaksanakan termasuk kemungkinan untuk membawa pelajar berkenaan ke pusat kesihatan atau hospital sekiranya perlu
Selain itu, Hishammuddin berkata, Kementerian Pertahanan juga sedia bekerjasama rapat dengan KPM dalam usaha memperkasakan lagi pusat tuisyen dalam kem ATM ketika ini.
“Ini termasuklah dalam menambahbaik modul-modul pembelajaran serta memberi latihan kepada tenaga pengajar,” jelasnya.
Pada masa yang sama, beliau berkata, ATM bersedia mengatur gerak anggota untuk membantu guru serta kakitangan KPM dalam membuat susun atur meja dalam bilik darjah dan bilik guru mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta membersihkan kawasan sekolah yang telah sekian lama tidak digunakan.
Hishammuddin turut memaklumkan bahawa ketika ini terdapat seramai 2,169 orang guru KPM ditugaskan semua sekolah dalam kem-kem tentera di seluruh negara.
“Alhamdulillah, proses pemberian vaksin kepada guru-guru ini berjalan lancar yang mana saya dimaklumkan, daripada jumlah 2,169 orang guru, seramai 1,990 atau lebih 90 peratus telah menerima vaksinasi lengkap,” katanya.
Leave a Reply